Thursday, September 12, 2013

Cinta & Ukhuwah [Fasa 4]

Fasa 4
On the authority of Abu Dhar Jundub Bin Junadah and Muadh Bin Jabal
that the messenger of Allah said :
 “Fear Allah wherever you are, and follow up a bad deed with a good one
and it’ll wipe it out, and behave well towards people.”

           Pagi itu Hawa Hanani Bt Fariz bangun pada awal pagi, lebih awal dari sebelumnya. Azan Subuh masih belum berkumandang, fajar masih belum menyingsing terbit. Pada mulanya dia berkira-kira untuk bersahur puasa sunat. Namun, mengenangkan faktor kesihatan dan kondisi badan yang memerlukan ubat pada waktu-waktu tertentu, amalan sunat yang lazimnya dilakukan itu terpaksa dibatalkan.Wani sekadar menunaikan dua rakaat solat tahajud dan dua rakaat solat hajat pada awal pagi itu. Bukan kerana tidak cukup waktu tetapi kerana sendi-sendinya dirasakan lemah, membantutkan keinginannya.
Terasa hambar kasih yang ditunjukkan kepada Penciptanya.

            Dia menangis seorang diri dalam doanya, dia atas hamparan sejadah. Bukan kerana menyesali sakit yang menimpa tetapi kerana terlampau terharu dengan perhatian yang diberikan kedua orang tuanya semenjak dia ditimpakan dugaan sebegini, terharu dengan Kak Long yang sanggup terbang, balik ke Malaysia semata-mata untuk menjaganya dan kerana terlampau rindukan Syafiq, achik dan adik Syakir.

“Allahu Rahiim, Ilaahi Rabbii,
Perkenankanlah aku mencintaiMu,Semampuku

Allahu Rahmaan, Ilaahi Rabii
Perkenankanlah aku mencintaiMu
Sebisaku, dengan segala kelemahanku
Robbii, aku tak dapat beribadah ala para sufi dan rahib, yang membaktikan
seluruh malamnya untuk bercinta denganMu.
Maka izinkanlah aku untuk
mencintaimu dalam satu-dua rekaat lailku. Dalam satu dua sunnah nafilahMu.
Dalam desah nafas kepasrahan tidurku.

Yaa, Maha Rahmaan,
Aku tak sanggup mencintaiMu bagai para al hafidz dan hafidzah, yang
menuntaskan kalamMu dalam satu putaran malam. Perkenankanlah aku
mencintaiMu, melalui selembar dua lembar tilawah harianku. Lewat lantunan
seayat dua ayat hafalanku
laahi,
Aku tak sanggup mencintaiMu
Dengan kesabaran menanggung derita
Umpama Nabi Ayyub, Musa, Isa hingga Al musthafa
Kerana itu izinkan aku mencintaiMu
Melalui keluh kesah pengaduanku padaMu
Atas derita batin dan jasadku
Atas sakit dan ketakutanku
Allahu Kariim, aku tak sanggup mencintaiMu di atas segalanya, bagai Ibrahim
yang  rela tinggalkan putra dan zaujahnya, Maka izinkanlah aku mencintaiMu di dalam segalanya. Izinkan aku mencintaiMu dengan mencintai keluargaku, dengan mencintai sahabat-sahabatku,
dengan mencintai manusia dan alam semesta.
Allaahu Rahmaanurrahiim, Ilaahi Rabbii

Perkenankanlah aku mencintaiMu semampuku. Agar cinta itu mengalun dalam jiwa. Agar cinta ini mengalir di sepanjang nadiku...”

W
ani menangis lagi.
               
Beberapa paket ubat yang berbentuk pil dimasukkan ke dalam poket hadapan beg sandang Nike biru mudanya. Semuanya atas desakan kedua orang tuanya. Tambahan pula mereka akan mengambilnya pulang dari madrasah lebih lewat dari kebiasaannya pada hari itu dan mahu dia menepati waktu pengambilan ubatnya.
‘Kalaulah aku tak migrain teruk semalam, pasti ibu dan ayah tak begitu risau.’ Getus hati kecil Wani.

******

Sudah dua minggu mereka menjadi teman semeja. Wani menggeleng lemah melihat Laila yang melekapkan kepala, berpaling darinya, dia tahu rakan sekelasnya itu sedang ralit ber-sms; barangkali dengan Akif. Wani membuat andaian sendiri. Sejujurnya, dia agak hampa dengan hubungan persahabatan mereka yang sekadar suam-suam kuku sahaja. Tiada cahaya ukhuwah yang menyinar. Laila sibuk dengan kekasih hatinya sehingga mengganggu Wani, menjadikannya serba tidak kena. Dia serba salah sama ada perihal Laila membawa barang larangan; telefon bimbit ke sekolah perlu dimaklumkan kepada pihak berwajib atau didiamkan sahaja perkara tersebut. Antara berani dan takut, Wani ambil keputusan untuk berdiam diri dahulu.

            ‘Sayangnya.’ Sepatah perkataan itu terlintas dalam benaknya, memikirkan betapa ruginya Laila Qaisarah yang pintar pada luarannya, mensia-siakan nikmat kepintaran yang dianugerahkan dengan melakukan perkara-perkara yang melanggar disiplin sekolah dan sekaligus melakukan perkara-perkara dilarang oleh syariat Islam sendiri. Wani berpendapat, Laila seolah-olah kufur nikmat. Dia turut bimbang akan sahabatnya itu kerana tidak mustahil nikmat itu boleh ditarik pada bila-bila masa sekira Allah menghendakinya.

            Wani baru ingin menyapa rakan semejanya ketika sakitnya menyerang dengan tiba-tiba. Kepalanya dipegang kuat seperti ingin mencengkamnya, akibat sakit yang mencucuk-cucuk. Antara keluar dengan tidak suara yang cuba dilontarkan oleh Wani; memanggil Laila disebelahnya kerana rakan-rakan lain sedang sibuk melakukan kerja-masing-masing ditambah pula dengan ketiadaan Puan Khaleedah; guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang mengambil cuti bersalin. Wani pasti tiada siapa menyedari keadaan dirinya yang kesakitan.

“Laila..”

“Laila..” Cubaan kali kedua gagal kerana suaranya cukup perlahan; sekadar didengari dirinya sendiri. Wani mula tertunduk; menekur lantai simen kelas. Mata sudah terpejam menahan sakit.
‘Tak mahu jadi macam semalam, Ya Allah.’ Pinta Wani dalam hati.
“Ela.” Lontaran suara yang naik satu not berjaya menyedarkan Laila yang berada di awangan percintaannya. Senyuman nya mati dan matanya membuntang seketika terlihatkan keadaan rakan semeja yang sudah kronik. Telefon bimbit disimpan ke dalam poket dalam kadar segera.
“ Hawa, anti okey?” Laila bersuara cemas dan bertambah cemas apabila mendapat gelengan daripada Wani. Dia mula memanggil beberapa orang akhowat yang lain ke meja mereka.
Tahap sensitiviti Laila yang tinggi membuatkan dia tersentuh melihat keadaan Wani. Kelopak matanya mula bertakung manik-manik jernih melihatkan manik jernih sudah mula gugur dari kolam mata Wani. Sementara Nurul Jihada dan Syahirah mendapatkan guru bertugas, dia akan ke kelas 5 Al-Ghazali untuk berjumpa Syafiq, seorang diri.

            “Assalamualaikum.” Setelah daun pintu kelas kedua aliran sains agama diketuk, Laila menapak masuk.
“Ustazah Nazrina, saya minta izin untuk berjumpa Fatihi Syafiq. Seluruh tubuh serasa menggeletar tatkala dia menyebut nama Fatihi Syafiq.
Tidak pernah berlaku dalam sejarah madrasah mungkin, seorang pelajar perempuan memanggil pelajar lelaki, untuk berjumpa ketika waktu P&P sedang berlangsung.
Barangkali Laila juga gerun untuk berjumpa Syafiq kerana pelajar tersebut terkenal dengan ketegasannya dan sangat menjaga batas ikhtilatnya.
Puan Nazrina perasan mata Laila yang kelihatan merah. Dia yakin Laila mempunyai alasan tersendiri untuk mengganggu sesi pengajarannya ketika itu. Dia tidak jadi menyoal lanjut.
Puan Nazrina mengangguk beberapa kali seraya memanggil Syafiq yang menurut. Penolong Exco Al-Ikhwan itu tenang menapak ke luar kelas.
“Ada apa?” Soal Syafiq sebaik dia berjumpa Laila.
“Emm, ahh.. Hawa.” Bicaranya kurang teratur. Sementara itu, Syafiq yang masih tidak jelas dengan apa yang cuba disampaikan, berkerut muka.
“Hawa sakit dekat kelas. Nampak macam kronik sangat. Beberapa orang akhowat kelas ana dah panggilkan guru bertugas. Ana datang sebab nak maklumkan hal ini pada anta.” Sekali nafas sahaja Laila menyampaikan pemberitahuannya. Serta merta wajah Syafiq berubah.
“Dah lama Wani sakit?”
“Baru je. Baru tadi.”  Balas Laila.
“Terima kasih. Ana akan menyusul anti ke bilik rawatan lepas ni.” Syafiq menapak ke dalam kelas; ingin mendapatkan kebenaran guru untuk keluar sekali lagi; meninjau keadaan saudara kembarnya sementara Laila sudah melangkah ke bilik rawatan.
Hanya dalam masa yang singkat, dia melupakan Akifuddin dan perasaan cintanya. Dalam masa yang singkat sahaja, dia sudah mula jatuh sayang pada rakan semeja yang selama ini tidak dilayan sebaiknya dan hanya dalam masa yang singkat sahaja dia merasakan diri dihormati seperti dulu; dilayan tanpa rasa janggal, seperti pelajar lain juga.

Dalam hati Laila Qaisarah, ketika itu doanya cuma satu, ‘Semoga Hawa baik-baik sahaja ya Allah,’

WARKAH BUAT HAWA

Hawa...
Maafkan aku jika coretan ini bisa mengguris hatimu. Meskipun kutahu, jiwamu selembut sutera dan bisa hancur lantaran kata-kata yang bakal ku ungkap ini, mengertilah duhai Hawa, kerana kaulah pengubat kesunyian waktu aku di syurga dulu dan engkau juga asalnya dari tulang rusuk kiriku yang bengkok, lantas kerana bimbang hidupmu terpesong dari landasan yang sebenarnya,kugagahi jua diri ini...
Hawa...
Maha Suci Allah yang telah mentakdirkan kaummu melebihi bilanganku di akhir zaman ini. Itulah kebesaran dan penelitian Allah S.W.T dalam urusan_Nya. Bayangkanlah Hawa... Sekiranya kaumku melebihi kaummu, yang pasti dunia ini kan berkecai kerana huru-hara dan diselimuti warna-warna suram lantaran kekejaman dan penindasan...

Hawa...
Suka untukku mengajak dirimu agar berfikir sejenak tentang hakikat kekalutan yang melanda di saat ini. Tapi permintaanku, duhai Hawa... Cubalah! Renungkan jua yang sebenarnya dirimu kini sudah berubah... Tidakkah kau mengerti bahawa dirimu kini, kian berubah...
Tidakkah kau mengerti bahawa dirimu adalah umpama sekuntum bunga yang indah di pandangan mata namun bukan perhiasan semata-mata.
Duri-duri yang  melingkarimu itulah hijab yang digariskan oleh Allah S.W.T sebagai pelindung yang diertikan sebagai aurat seorang yang bergelar wanita. Mengapa Hawa? Mengapa harus kau biarkan ia terdedah kepada kami, kaum ajnabimu?
Betapa hancurnya hatiku menyaksikan dirimu umpama bahan yang dapat diperkotak-katikkan. Dimana-mana saja,bisaku lihat dirimu menghayunkan langkah ,bukan sebaik dulu lagi. Langkahmu kian pantas. Apa sebenarnya yang engkau kejari? Aku sendiri tak pasti! Terkadang, ku tak dapat membezakan antara dirimu dan teman-teman yang lain, bersama hayunan langkah itu, suaramu ki
an meninggi, diiringi gelak tawa yang cukup memedihkan mata dan hatiku ini...
Sedarkah kau Hawa...?
Haruskah aku terima hakikat yang kau kini sudah berubah?
Semakin jauh dari landasan Tuhan yang pernah kutelunjuki buatmu dahulu!

Hawa...
Mengapa mesti dirimu kini jadi tontonan ramai? Perlukah kau hiasi dirimu untuk menarik perhatian sehinggakan yang seharusnya menutupi auratmu, kau miliki dari ciri-ciri yang ditegah dalam Islam? Sukar bagiku untuk melihat kembali keadaan yang mana sesederhana yang mungkin! Cukup untukku merasakan kehadiranmu di saat ini tidak lebih dari mempamerkan perhiasan diri yang kau punyai.

Fahamilah Hawa, usahlah menurut kerakusan nafsu menjelajahi sebutir peluru yang bisa hinggap di mana saja meninggalkan fitnah buat kaumku ini...

Hawa...
Betapa sakit dan pedihnya disaat kulihat auratmu menjala, di sekeliling pandangan. Aku tidak mahu Hawa... Suatu hari nanti, di negeri yang abadi itu, memperlihatkan seksaan terhadapmu yang ku kira paling dahsyat, apa tidaknya. Seurat rambutmu yang keluar, ular menanti dimana-mana, sejengkal tanganmu kelihatan ... Aduh! Banyaknya seksaan menantimu...!

Mengapa begitu Hawa? Tidakkah kau ingat apa yang perlu kau jaga adalah maruahmu! Maruah seorang wanita yang tersandar di bahumu kelemahan dan kekurangan!!

Jadi bagaimana seandainya kelakuan dan auratmu terpamer di mana-mana saja?
Hawa...
Tidakkah kau malu dengan pembohongan yang kau sembunyikan dalam dirimu sendiri?
Di sini auratmu kau selindungi disebalik pemakaianmu, atas dasar peraturan dan persekitaran kalian. Tetapi jauh nun diluar sana, tersentak diriku tatkala dirimu telah jauh berbeza! Tudung ke mana, jilbab ke mana? Apatah lagi tingkah lakumu! Dimana kau letakkan martabat seorang yang bergelar muslimah? Aku diselubungi rasa malu atas penghinaan ini!

Hawa...
Tutupilah auratmu, jagalah dirimu, bertuturlah dengan suara yang lembut mampu kau kawal lantaran jika terlanjur, semuanya bisa membawa dosa padamu.

Jangan kau memperlihatkan apa yang tersembunyi pada dirimu. Tapi ingatlah, cukuplah sekadar tapak tangan dan wajahmu yang dizahirkan, namun bukan kakimu, rambutmu dan jua tubuhmu...

Firman Allah swt:
“Dan katakanlah kepada wanita-wanita beriman, hendaklah mereka menahan dari pandangan mata mereka dan memelihara kemaluan mereka dan jangan menampakkan perhiasan mereka kecuali yang zahir daripadanya...”

Hawa....
Mungkin ku harus menghentikan bicara pertama ini di sini dulu...

Andai diizinkan Allah swt, kita bersua lagi dilain lembaran dan yang pasti aku tetap terus membimbingmu. Harapanku agar muncullah walaupun hanya secebis kesedaran dihatimu dan akan mendoakan moga Allah S.W.T membuka hati kalian untuk mencetuskan perubahan...
Akhir kata, ketahuilah... “ Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah.” (HR.Muslim)

f.o.i



Laila melepaskan nafas kasar memandang lembaran yang baru diterimanya sekembalinya dari melawat Wani di bilik rawatan. Pada mulanya dia menyangka lembaran tersebut ditujukan kepada Hawa Hanani, rakan semejanya. Namun setelah meneliti isi warkah tersebut, dia pasti ‘hawa’ yang dimaksudkan ialah kaum perempuan dan ditujukan khas sebagai ingatan dan teguran ikhlas kepadanya. Tidak tegar hatinya membuang helaian yang diterima, tidak dinafikan juga kebenaran bagi setiap baris ayat yang terdapat dalam lembaran tersebut. Warkah itu disimpan ke dalam beg galasnya.
Dia pasti lembaran kali ini dan lembaran yang sebelumnya  bukan kiriman Nur Iman Aimi. Hanya egonya sahaja yang gemar membuat pertuduhan melulu begitu.
Selesai mengikuti kelas mata pelajaran Al-Quran dan As-Sunnah, Laila Qaisarah bersegera. Beg sandang Nike berwarna biru muda milik Hawa Hanani turut digalas bersama. Sekali lagi dia menapak ke bilik rawatan.

::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::Cinta&Ukhuwah::::::::::::::::::::::::::::::::::::

“Ibu minta maaf banyak-banyak Fiq. Tapi ibu dan ayah tak dapat ambil Wani sekarang. Fiq jaga Wani buat sementara waktu ini dulu, ya?” Puan Rafidah berhati-hati mengatur kata. Bukan niatnya mahu melewat-lewatkan pengambilan Wani dari sekolah pada hari itu sebaliknya kedua mereka terpaksa kerana terdapat urusan yang jauh lebih penting terpaksa didahulukan dan dilakukan. Hati orang tua mana yang tidak risau mendengar perkhabaran mengenai anak yang sedang dalam kesusahan? Naluri keibuannya meronta-ronta ingin mendapatkan anak ketiganya itu. Dia memohon pengertian Syafiq ketika itu.
“InsyaAllah. Fiq doakan semoga urusan ibu dan ayah dipermudahkan.”Hampanya hati Syafiq hanya diketahui Allah dan dirinya. Siapalah dia untuk mengubah ketetapan yang direncana terhadap mereka sekeluarga hari itu.
“Ibu dan ayah sayang kamu berdua. Jaga Wani, ya. Assalamualaikum.”
“Wa’alaikumussalam, bu.” Gangang telefom awam yang disediakan sebagai kemudahan kepada pelajar-pelajar oleh pihak madrasah diletakkan pada tempat asalnya. Syafiq melemparkan senyum segaris kepada teman setia, Farouq yang menunggunya.
“Anta pergilah solat Zohor dulu. Anan nak tengokkan Wani sekejap.” Syafiq melangkah sekali lagi ke bilik rawatan setelah menerima anggukan dari Farouq Faqihin.

            Syafiq keluar dari pantri yang terdapat dalam bilik rawatan yang menempatkan dua lagi bilik kecil di dalamnya sambil membawa secawan milo panas. Sengaja disediakan buat saudara kembarnya yang masih kelihatan lemah walaupun kesihatannya semakin beransur pulih berbanding ketika di kelas 5 Ibnu Khaldun pagi tadi.
“Akak.” Kole merah hati yang bercorak rama-rama yang berwarna-warni diangkat separas bahu, mahu Wani melihat apa yang disediakannya.
Wani angkat kening kiri, pura-pura tidak mengerti.
“I serve you a cup of hot milo, miss.” Suaranya digaraukan seperti suara garau pelayan lelaki di sesebuah restoran terkemuka. Wani buat muka.
“Enjoy it.” Tambah Syafiq lagi.
“Aceceh abang. Caring lah pulak.” Wani tersengih nakal. Kole merah hati itu bertukar tangan. Perlahan milo panas yang dibancuh, dihirup.
“Oh abang, tawar nya air milo mu.” Wani sempat mengusik. Dia berbahasa baku.
“Kakak tak baca bismillah tu. Sebab tu lah tawar. Ish. Ish. Ish.” Syafiq membalas usikan tersebut. Dia menggeleng beberapa kali. Bukan selalu dia berpeluang mengusik atau bermanja dengan saudara kembar sendiri ketika di madrasah. Hal yang demikian kerana selama ini, mereka jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. Sekiranya berjumpa, pasti tiada usikan sebegini, melainkan bertanya khabar ataupun kerana Wani tidak cukup wang poket semata-mata.
“Kakak baca dalam hati, okay. Don’t assume me, sesuka hati je.” Milo panas yang sudah mula suam dihirup sekali lagi.
“Maybe sebab tak ada gula ataupun susu disediakan.” Syafiq balas ala kadar. Dia berlagak bingung.
“Maybe? Abang ni buat air, takkan lah tak tengok ramuan kot? Failed sungguh.” Air milo yang berbaki separuh diletakkan di meja sisi katil. Kepala Wani disekeh lembut dengan buku lima Syafiq.
“Hey, apa ni bang? Main kasar. I’m not verry well yet, okay.” Wani buat muka masam.Kononnya dia geram.
“Bising lagi. Siapa suruh.” Syafiq menghadiahkan senyum manisnya kepada Wani di katil.
“Cakap pasal sakit. Kenapa kakak boleh sakit? Bukan kakak dah buat check up ke, haritu?” Dia perasan saudara kembarnya itu kelihatan pucat sedikit.
‘Terukkah sakit Wani?’ Syafiq menyoal dalam hati. Terasa dungu kerana dia tidak menyelidiki mengenai penyakit adik kembarnya sendiri dan dalam masa yang sama merasa terkebelakang kerana masih samar-samar mengenai kondisi Hawa Hanani yang sebenar-benarnya.
Soalan Syafiq tidak dijawab oleh Wani. Dia mendiamkan diri beberapa ketika.
“Ponteng makan ubat, ye?” Soal Syafiq lagi. Kali ini lebih serius berbanding sebelumnya.
“Alah, bang. My illness bukannya temporary illness. It takes time to heal. Check up isn’t treatment yang boleh settle kan problem immediately.” Terang Wani.Suram.
“But I taught, at least it should make you feel much better than before.” Dia ambil nafas untuk meneruskan kata-katanya.
“Sebelum ni akak mana pernah sakit kronik, so sudden dalam kelas. Ubat-ubat yang kakak ambil tu suppose dapat halang kakak dari sakit macam tadi tu. Abang terkejut sangat tadi.” Suara Syafiq mula mengendur.
“Ubat bukannya boleh buat apa pun.” Wani jawab perlahan.
“Abang dah solat Zohor ke belum, ni?”  Dia sengaja menukar topik perbualan. Syafiq menggeleng perlahan.
“Ya Allah, teruknya perangai Penolong Exco al-Ikhwan madrasah ni.” Ejek Wani. Perbualan mereka cuba diwarnakan kembali.
“Siapa nak jaga akak dekat sini? Ibu dengan ayah ada urusan luar dan ambil kakak lambat, hari ni.”
“Tahu lah. Ibu dengan ayah dah bagi tahu awal-awal, lagi.” Balas figura yang bersandar di atas katil itu.
“Habis tu, akak tak solat?” Saudara kembarnya disoal pendek.
“Akak, tak solat tak apa. Abang, tak solat berdosa, tahu.” Syafiq angguk beberapa kali, mengerti lah dia. Beg Nike warna putih kesayangannya dicapai.
“Got to go, kak. Assalamualaikum.
“Wa’alaikumussalam.
Langkah Syafiq yang baru menapak keluar dari bilik rawatan 1, terbantut seketika terpandang susuk tubuh Laila Qaisarah yang duduk di ruang tamu bilik rawatan.
“Anti dah lama sampai?” Soal Syafiq. Nada suaranya mendatar, seperti kebiasaannya. Dia pasti kehadiran Laila adalah sebagai peneman adiknya, melihatkan teman setingkatannya itu turut membawa bersamanya beg Nike biru muda milik Wani.
“Baru je.” Bohong Laila.
“Oh. Anti tolong tengok-tengokkan Wani, ya.” Anggukan daripada Laila melegakan hatinya.
“Terima kasih.” Dia membalas pendek sebelum langkahnya dipercepatkan ke Surah As-Solihin, surau madrasah mereka.

            Laila pula bangkit dari duduk. Daun pintu bilik rawatan 1 yang dibiarkan terbuka sedikit, diketuk beberapa kali sebelum dikuak perlahan.
“Assalamualaikum Hawa.” Kedatangan Laila Qaisarah seperti kejutan gembira untuk Wani. Dia terlupa bahawa rakan semejanya telah memberitahu kedatangannya sebelum ini.
Laila mengambil tempat duduk di sisi katil. Anak matanya memfokus pada kole merah hati di atas meja sisi.
“Air milo je yang anti ada?” Wani tersengih menampakkan barisan giginya yang putih bersih.
“Itu pun abang ana yang baik hati nak bancuhkan. Kalau tak, ana lunch ubat je lah, jawabnya.” Wani membalas ramah. Walaupum sebelum ini mereka jarang bersama dan menyepi diri antara meraka. Namun, baik Wani atau Laila, kedua-duanya tidak janggal dengan keakraban yang entah bagaimana terjalin sesama mereka.
 Sebungkus makanan yang diletakkan dalam plastik merah jambu bersaiz S diajukan kepada Wani.
“Ana bawakan nasi goreng kampung kurang pedas campur telur dadar untuk anti.”
“Ya Allah, anti. Ana tak nak menyusahkan anti. Sungguh, ana minta maaf kalau ada menyusahkan anti. Bila-bila nanti, anti minta claim okay.”
“I don’t mind lah. Bukan ana masak pun, Brother Amad yang masakkan. Tak susahkan ana langsung. Bila ana susah nanti, anti tolong ana pula, ya.” Bekas polistrin bertukar tangan.
“Baca bismillah tahu. Sebelum makan. Nanti tawar pulak nasi spesial Brother Amad tu.” Usik Laila, merujuk kepada perbualan Syafiq dan Wani sebentar tadi. Wani tersenyum manis, semanis gula-gula kapas bersaiz XL.

Kole merah hati dicapai Laila sebelum dibawa ke pantri.

“Anti nak buat apa pula tu?” Suara Wani naik satu not dari biasa.
“Ana nak bancuhkan milo panas baru untuk anti and untuk ana jugak. Yang manis punya.” Balas Laila Qaisarah dari dalam pantri. Kata-katanya mengundang tawa kecil Wani yang sedang menikmati nasi goreng kampung kurang pedas dicampur telur dadarnya, masakan oleh Bother Amad, chef cafeteria madrasah.
“Ana tengok, anti dengan kembar anti rapat betul tadi. Rasa cemburu pulak. Ana rasa sayu tiba-tiba. Ana dengan ibu ana dah tak ada masa nak bermanja-manja macam anti dengan Syafiq. Ana yang menjadi punca, ana yang merugikan diri sendiri. Ana yang menghilangkan keindahan bersama keluarga. Ana rasa, lah.” Suara Laila Qaisarah jelas kedengaran dari dalam pantri.
Wani diam. Tidak tahu membalas. Dia tidak menyangka, dia telah mendengar luahan hati Laila ketika itu. Dalam hatinya, dia bersyukur kerana dikurniakan abang yang begitu penyayang seperti Syafiq. Sekejap-sekejap, wajah kedua orang tuanya pula berlayar dalam ingatan sebelum bersilih ganti dengan wajah Kak Long, achik dan adik Syakir. Wani tersenyum lagi. Hamdalah dituturkan perlahan beberapa kali.

:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::Cinta&Ukhuwah:::::::::::::::::::::::::::::::::

“Selamat datang, Encik Fariz, Puan Rafidah.” Dr. Muslih menyambut tetamunya pada awal petang itu dengan wajah yang dimaniskan. Kedua-dua figura awal lima puluh-an itu dipersilakan untuk duduk.
“Saya minta maaf kerana memanggil Encik Fariz dan isteri secara tiba-tiba. Pada mulanya pihak saya menjangkakan imbasan MRI yang dilakukan ke atas anak Encik dan Puan, Hawa Hanani akan siap laporannya pada hujung minggu ini. Namun, laporan imbasan tersebut telah siap beberapa hari lebih awal . Saya terpaksa memanggil Encik Fariz dan isteri kerana merasakan hal berkaitan laporan ini perlu kita bincangkan dalam kadar segera.” Doktor Muslih berpaling ke belakang. Tangannya mencapai sepucuk sampul coklat bersaiz A3 yang berada di atas meja kerjanya. Encik Fariz kekal tenang, tertunggu-tunggu bicara Dr. Muslih selanjutnya. Puan Rafidah juga kelihatan tenang walaupun jauh disudut hatinya, dia sebenarnya begitu berdebar-debar menanti laporan yang bakal menyusul diberitahu.

            Lampiran Sinar X bahagian kepala Wani diklipkan pada skrin papan putih yang terdapat di dalam bilik Dr Muslih.

“Encik Fariz, Puan Rafidah, Berdasarkan laporan MRI Hawa Hanani, pihak hospital mendapati Hawa  Hanani bukan sekadar migrain. Tetapi sebenarnya, terdapat ketumbuhan di dalam kepalanya yang kami anggarkan berukuran kosong perpuluhan kosong lima milimeter. Hal ini benar-benar membimbangkan kerana tumor ini akan terus membesar dari semasa ke semasa.” Dr Muslih menerangkan satu persatu. Dia pasti Puan Rafidah terkejut dengan apa yang baru dia sampaikan. Ibu pesakitnya itu cuba menyembunyikan kesdihannya yang terang-terang tergambar pada wajahnya.

            Encik Fariz berkira-kira untuk mengajukan sesuatu. Dr. Muslih pula sedang mengumpul keuatan sebelum menerangkan dengan lebih lanjut keadaan sebenar pesakitnya.

            Suasana bilik Dr. Muslih,  ketika itu hening seketika.