Saturday, August 17, 2013

Kesan Ketidakstabilan Politik Terhadap Ekonomi dan Politik Sesebuah Negara

Assalamualaikum.

So, this is an essay for my home work on General Study subj.
*Bismillahirrahmanirrahim*

Pendahuluan


Sejak akhir-akhir ini, media sering menyajikan kita dengan pelbagai berita mengenai rusuhan, tunjuk perasaan, demonstrasi dan sebagainya. Terdapat juga sesetengah pihak yang menggelarnya sebagai revolusi kebangkitan rakyat dan suara rakyat. Hakikat kebiasaannya, tindakan dan pelaksanaan sebegini berpunca dari perkara yang sama iaitu ketidakstabilan politik yang terjadi di sesebuah negara. Disebabkan keadaan pertumbuhan politik yang tidak sihat, serta persaingan kedudukan dan kuasa secara tidak adil dan saksama menyebabkan pihak yang terlibat khususnya para pemerintah dan pentadbir mula mengabaikan tanggung jawab mereka terhadap keperluan dan kehendak rakyat. Kesan ketidakstabilan politik amnya terbahagi kepada beberapa bahagian dan klasifikasi iaitu kesan jangka panjang dan kesan jangka pendek terhadap ekonomi dan politik negara itu sendiri serta di peringkat antarabangsa serta kesan ketidakstabilan ini dari sudut skop mikro dan makro.


Isi 1
Kesan Jangka Pendek Ketidakstabilan Politik 
  • Sekiranya rusuhan yang berlaku adalah melibatkan keganasan dan pertumpahan darah di sesebuah tempat, kegiatan ekonomi khususnya yang melibatkan perniagaan dan perusahaan akan tergendala dan terhenti kerana dua faktor iaitu kekurangan tenaga kerja oleh sebab pekerja mereka terlibat dan kerana faktor keselamatan pengusaha atau peniaga sendiri yang tidak terjamin. Aktiviti ekonomi yang terganggu menyebabkan lebihan penawaran produk atau barang serta perkhidmatan dan sekaligus memperlahankan aliran keluar-masuk wang. Ia akan merugikan peniaga khususnya dan merugikan negara amnya. 
  • Jumlah perusuh atau penunjuk perasaan yang ramai dari pelbagai kawasan berkumpul di satu kawasan tertentu sahaja akan mengurangkan jumlah pembeli di tempat-tempat lain. Aktiviti ekonomi terganggu.
  • Perusuh yang kebiasaannya merupakan golongan pembeli akan menggunakan kos yang besar sebagai persediaan membuat tunjuk perasaan seperti persediaan bekalan makanan, sepanduk, banting, khemah perlindungan dan sebagainya. Kuasa beli mereka terhadap barang-barang keperluan lain akan merosot kerana aliran keluar wang digunakan untuk tujuan ini. Hal yang demikian hanya akan menguntungkan pihak dalam industri tertentu sahaja dan hanya dalam satu-satu tempoh tertentu sahaja serta merugikan banyak pihak lain. 
Isi 2
Kesan Jangka Panjang Ketidakstabilan Politik 
  • Ketidakstabilan politik dalam sesebuah negara menganggu pertumbuhan ekonomi tersebut disebabkan rusuhan, tunjuk perasaan dan sebagainya. Hal yang demikian mencerminkan imej negara yang tidak selamat dan tidak berpotensi dalam ekonomi sekaligus menyebabkan pelabur asing hilang minat untuk melabur dalam negara tersebut. 
  • Kerajaan terpaksa menggunakan kos yang besar bagi menanggung perbelanjaan kesan daripada rusuhan dan tunjuk perasaan seperti menggunakan peruntukan sektor-sektor lain dalam perbelanjaan pembangunan negara dan perbelanjaan mengurus negara secara berlebihan untuk menanggung kos rawatan mangsa atau rakyat yang tercedera serta membaiki kerosakan yang berlaku. Perancangan pembangunan negara akan tergendala dan terganggu. 
  • Sekiranya rusuhan dan tunjuk perasaan berlaku untuuk satu tempoh yang panjang, kegiatan ekonomi dalam skop yang lebih luas seperti kegiatan eksport dan import negara akan terganggu dan sekaligus memberi kesan kepada kegiatan ekonomi negara-negara luar yang terlibat dalam kerjasama ekonomi ini. Keadaan ini menjejaskan hubungan baik antara negara

Isi 3
Kesan Ketidakstabilan Politik dari Sudut Mikro
  • Kemusnahan harta benda awam dan barangan peribadi
  • Permusuhan dan pergaduhan yang besar serta memecahbelahkan perpaduan dalam sesebuah negara
  • Risiko kehilangan nyawa serta risiko berlaku keganasan antara pihak yang berlainan dan pertumpahan darah
Isi 4
Kesan Ketidakstabilan Politik dari Sudut Makro
  • Banyak kemusnahan menyebabkan operasi membangun negara dengan prasarana dan kemudahan-kemudahan tertentu menjadi tidak lancar dan tergendala. Tanpa kemudahan dan prasarana, kegiatan ekonomi akan menjadi perlahan kerana pengurangan pengeluaran produk dan kemerosotan angka penwaran perkhidamatan dan seterusnya menganggu keadaan ekonomi negara tersebut.
  • Ketidaksepaduan dan pergaduhan sesama rakyat dalam sesebuah negara memberi peluang kepada pihak ketiga untuk mengambil kesempatan atas ketidakstabilan politik yang berlaku. Pihak ketiga ini berkemungkinan melakukan campur tangan dan mengambil alih sektor yang dirasakan memberi keuntungan kepada mereka.

Isi 5
Kesan Ketidakstabilan kepada Individu, Masyarakat, Pihak Kerajaan dan Kesan Antarabangsa
  • Individu : Individu yang terlibat akan terdedah kepada risiko besar kecederaan dan kematian - mengurangkan tahap jangka hayatnya. Kegiatan ekonomi dan sosial seseorang akan terganggu dan terjejas. Perkembangan pendidikan akan tergendala.
  • Masyarakat : Berlaku perpecahan dalam masyarakat dan membuka ruang kepada permusuhan dan pergaduhan. Tanpa perpaduan, rakyat akan hidup dalam keadaan tidak selamat dan kondusif. Perpecahan masyarakat akan membuka ruang kepada musuh negara atau pihak luar mengambil kesempatan mendapatkan kepentingan negara sewenang-wenangya.
  • Pihak kerajaan : Pihak kerajaan tidak mendapat kepercayaan rakyat kerana proses pembangunan dan mengurus negara akan menjadi tergendala dan terganggu. 
  • Kesan Antarabangsa : Hubungan kerajaan dengan negara luar juga akan terganggu kerana keadaan negara yang tidak selamat menyukarkan sebarang kerjasama.
Penutup

Setiap pihak sebenarnya memainkan peranan yang sama pentingnya dalam memastikan kestabilan politik sesebuah negara. Rakyat perlu berfikir panjang tentang tindakan yang diambil dan pihak kerajaan pula perlu menangani sebarang isu ketidakstabilan politik dan kesan-kesannya secara bijaksana dan saksama. Langkah-langkah yang pragmatik perlu dirancang dan disediakan oleh pihak kerajaan sebagai menghadapi keadaan-keadaan tunjuk perasaan, demonstrasi dan sebagainya. Kedua-dua pihak ini khususnya perlu menggunakan pendekatan yang aman dan secara rundingan agar kemaslahatan bersama dan kepentingan ekonomi sesebuah negara khususnya dapat dipelihara dari sebarang ancaman dalam dan luar negara.  Proses membangun dan mentadbir sesebuah negara merupakan usahasama oleh rakyat dan pemimpin. Sekiranya ketidakstabilan politik berlaku, implikasi yang terjadi sudah tentu akan menjejaskan keseluruhan aspek sosial, kebudayaan, politik dan yang terpenting sekali merupakan ekonomi sesebuah negara.