Monday, April 13, 2015

hashtag uum confession #1

Minggu 275

Syahidah kelam kabut awal pagi itu. Subuh pun belum tetapi siren telah kedengaran memekik-mekik dari bahagian luar bilik.

TOK TOK TOK

Ketukan dari luar pantas disambut. Dia sekadar memulas tombol dan membiarkan daun pintu dibuka sendiri dari luar, mengetahui gerangan yang datang.

"Syidah, cepat siap wey. Ed dah bising dekat luar tu!" Tetamu yang masuk ke biliknya juga sebenarnya sedang gelabah. Syahidah pandang orang di hadapan. Gerangan yang di hadapan turut membalas pandangan. Sekejap tak sampai beberapa detik. Seolah-olah mencapai kata sepakat untuk suatu perkara.

Siap sahaja Syahidah menyarung tudung syria hitamnya di kepala. Laju sahaja kedua-dua mereka keluar bilik dan bergegas menapak pergi. Mujur sahaja dalam kelam kabut dan kalut - kalut itu dia tak lupa mengunci pintu bilik.

Siren masih kedengaran tetapi semakin menghilang bersama suara Eddy yang menjerit meminta pelajar-pelajar segera berkumpul di dataran kolej penginapan mereka. Eddy pastinya bergerak ke blok lain pula untuk mengejutkan pelajar ambilan baru, yang seperti mereka berdua yang terlewat bangkit pagi itu.

"Syidah! Iffah!" Langkah sehabis laju kedua duanya terhenti. Langsung menoleh ke arah suara yang memanggil. Kenalan mereka juga. Tentu sekali terlewat juga seperti dia dan Iffah.

"Sat lah tunggu aku." Fatma berlari-lari anak mendapatkan mereka berdua yang sudah separuh jalan di hadapan. Cuak dengan keadaan blok yang sunyi tanpa isi bertukar lega melihat masih ada yang senasib dengannya.

"Lambat jugak?" Iffah tergelak di hujung pertanyaannya. Sudah tentulah sedang lambat. Kalau tidak, mereka tidak bersama-sama termengah berlari anak begini.

Langit masih gelap gelita. Sekadar diterangi lampu neon jalan raya yang lengang tanpa kereta.
Tercungap cungap juga Syahidah sebaik sampai di tempat berkumpul. Dilihatnya masih tidak cukup korum pelajar-pelajar ambilan baru yang berkumpul di dataran kolej ketika itu. Ketua blok masing-masing sudah berada di hadapan setiap barisan, mengira bilangan anak buah yang telah tiba. Beberapa orang kakak dan abang senior yang turut berada di situ mula mempamer muka kurang mesra. Sesekali kedengaran suara garau seorang senior lelaki berseluar tomoi di situ naik dua not tinggi. Sergahannya menyebabkan mana mana pelajar yang baru tiba dalam keadaan berlenggang ke dataran, mempercepatkan langkah masing-masing ke dalam barisan.

Hampir sepuluh minit juga Syahidah berdiri dalam keadaan mamai sementara menunggu semua pelajar-pelajar seangkatan ambilannya berkumpul. Kantuknya susah nak hilang. Dia menyalahkan program dan aktiviti semalam yang berakhir lewat, pukul tiga pagi.

Kelibat Eddy baru kelihatan. Dia berdiri betul-betul di hadapan dan di tengah tengah pelajar baru dan rakan-rakan senior seangkatannya. Suaranya yang memang lantang tidak menjadi masalah apabila dia ingin bercakap tanpa microphone. Sekejap sahaja masa yang diambilnya, diterangkan secara ringkas perjalanan aktiviti untuk hari ketiga orentasi pelajar  hari itu. Eddy berhenti dengan penerangannya betul-betul sebelum azan Subuh masjid kampus berkumandang.

To be continued...