Tuesday, January 20, 2015

Cinta Sesuka Hati compiled ver. II

BAB 7
"Aku, acah je haritu. "
"Mana ada Kim nak kahwin dengan aku pun."
"Rekaan je semata-mata."
" Linda prank Miramis sebelum tu. Dia kata dia nak kahwin hujung bulan depan. Siap tunjuk gambar dan bagitahu yang keluarga dua-dua belah pihak dah saling setuju. Dia minta doa yang terbaik. Dia kata perkara ni rahsia. Cuma Miramis yang tahu. Mati-mati Miramis percaya. Rupanya Linda saja nak mengusik. Sampai meleleh air mata Miramis ketawa sebab kena prank dan sebab geram dengan Linda."
"Aku memang tersempak dengan Miramis on the way ke kelas lepas paper Pengajian Am tu. Mula-mula tak tahu pun halnya Miramis ketawa sakan tu kenapa. Alih-alih lepas tu aku pulak kena prank dengan Linda."
Sepatah-sepatah cerita panjangnya diperjelaskan. K berhenti bercakap. Ambil nafas untuk menyambung bicaranya.
"Lepastu kau prank aku pulak." Mendatar suara di hujung talian menyambung sebelum K sempat bersuara. Dia tidak jadi bersuara, terdiam lagi untuk seketika.
"Aku main-main je. Aku..."
"K, soal kahwin kau boleh buat main-main ke?" Meen masih serius di hujung talian.
"That was how a prank should be. Sorry  Meen. Bila aku fikirkan semula, aku memang rasa bersalah sangat dengan kau." Suara K ikut mendatar dan semakin perlahan. Kebiasaannya Meen jenis yang mudah dipujuk. Keluhan dilepaskan.
" Hah tahu pun kau serba salah. Aku maafkan kau K. Your sorry is accepted. Bukannya sekali dua kita pernah bergurau." K sudah mengukir senyum sampai telinga. Ternyata sahabatnya itu, masih mudah dipujuk. Hamdalah yang turut diucap.
"Aku tahu kau K, tak perlu nak senyum lebar sangat. Kau masih bersalah sebab hampir buat aku sakit jantung dek berita kahwin kau, tahu." Bebel Meen di hujung talian.
K menyimpul sengih. Inilah Meen yang dikenalinya. Meen yang cenderung berceloteh panjang.
"Ya aku tahu kau memang terkejut. Aku pun terkejut kalau kene kahwin pada range umur muda macam gini." Buat seketika, bayang wajah Farhan Hakimi menjengah horizon mindanya. Sekejap. Sebelum ditepisnya jauh-jauh.

BAB 8
Hari pertama persekolahan, Kim abaikan sahaja rasa ingin tahu dan persoalan yang bermain-main dalam kotak fikirannya.
Hari kedua persekolahan. Kim sudah mula tercari-cari gerangannya orang yang digelar K. Dia tidak terus ke tingkat atas, ke kelas Yasmeen untuk bertanya lanjut.Hanya ketika di kantin dia meneka sendiri gerangan K itu ketika terpandang rakan-rakan setingkatan.
Hanya pada hari keempat, dia baru mengenal siapa K.
Terkejutnya bukan kepalang.
Selama ini barangkali dia tidak pernah tahu siapa K kerana tidak mahu ambil tahu tentangnya.
Dia cenderung ambil tahu terhadap seseeorang sahaja di sekolah. Dia hanya ingin tahu perihal Hana Kaisarah.
Tetapi apabila mengetahui sebenarnya Hana Kaisarah ialah K, Kim tergelak kecil mengejek diti sendiri.
"Farhan Hakimi, K tu Kaisarah lah. Lembab." Monolognya terluah dibibir.
Lamunan menjengah ketika dia dan Yasmeen berjumpa setelah tamat persekolahan.
"Berapa tahun kau bersekolah dengan dia? Kalau kau tak pernah dengar atau tak ambil tahu sekalipun, takkan tak boleh agak yang dia K?" Respon Yasmeen berlegar dalam kepalanya.
Suaranya ditekan-ditekan tanda tidak percaya pada Kim. 
"Aku tak pandang perempuan ni. Fokus belajar dan bola. Macam ni lah jadinya." Kim membalas perlahan dalam nada seloroh. Bibirnya menjungkit sengih kecil.
"Poyo lah kau." Meen menjelir lidah, buat-buat menyampah.
"Macam mana boleh tahu K ialah Kaisarah sedangkan zaman berzaman sebelum ni tak menahu tentang tu?" Meen sambung menyoal.
"Tadi kebetulan dia turun ke blok aku. Cari member agaknya. Bertembung dengan aku. Aku stuck kejap sebab terkejut tak pernah nampak dia kat bawah. Masa tu lah member dia panggil dia depan-depan aku." Kim berhenti sekejap. Ambil nafas.
"Dia pun macam stuck jugak bertembung dengan aku. Lagilah aku janggal. Untuk Lepas tu aku tanya sama ada dia K dan dia jawab ya." Kim berhenti lagi. Dia lihat Meen yang berada di hadapan seperti menantikan sambungan.
"Aku blah la lepas tanya tu. Aku balas oh." Meen tepuk dahi. Dia menjangkakan akan mendengar cerita di pihak K selepas ini. Barangkali cerita sedih dek sikap Kim yang seolah-olah tidak mengenal kawan lama atau mungkin versi cerita yang lebih berbeza lagi. Kononnya. Meen tertawa kecil dalam hati.
"Semua orang memang panggil dia K kat sini?" Persoalan yang baru muncul diajukan terus kepada Meen.
"Kecuali kau." Meen memerli.
Itu ayat terakhir Yasmeen Suraya sebelum mereka berpisah, pulang ke asrama masing-masing. Kesan perbualan dan pencerahan Yasmeen yang tidak seberapa tengah hari tadi membuatkan Kim tersenyum tanpa sedar. Geli hati.
'Hana Kaisarah yang mengaku aku dan dia akan bertunang tak lama lagi? Ini rare.' Kim tersenyum lagi.
BAB 9
Meen melongo mendengar cerita K.
Sudah dijangka cerita versi Hana Kaisarah akan jadi berbeza berbanding cerita versi Farhan Hakimi yang didengarnya lewat tengah hari tadi.
"Muka dia macam bengang bila tersempak dengan aku tadi."
"Cemana dia boleh tahu yang aku nak kahwin dengan dia?" K garu kepala yang tidak gatal.
"Eh silap. Cemana dia boleh tahu tentang yang dia dan aku nak berkahwin tu?"
"Dia tanya aku sepatah je. Lepastu dia blah. Allah, gurauan aku dah jadi serius!"
"Ahh... Malunya aku Meen! Bertahun-tahun aku bersekolah dengan dia. Ini pertama kali aku rasa aku malukan diri aku sendiri."
Baris demi baris ayat K menuturkan. Meen masih mendengar. Sesekali dia mengangguk dan menggeleng sebagai respon pada persoalan demi persoalan yang diajukan K.
"Habis dah?" Meen berseloroh apabila K diam seketika mengambil nafas. Loceng yang berbunyi membantutkan K yang baru ingin merespon. Meen dan K dua-duanya bangkit dari duduk. Mereka perlu bersiap untuk ke kelas prep malam di sekolah.
"Jangan risau lah K. Jangan fikir sangat pasal Kim dan waktu rehat tadi. Kim yang kita kenal, aku rasa dia okay je. Meen menampal segaris senyum manis di hujung bicaranya. Senyumannya dibalas senyum tidak cukup gula oleh K.
* * * *
"Sekolah along tu?" Bibir mungilnya dicebik tidak berpuas hati.
"Lebih senang di situ. Along boleh tengok-tengokkan angah." Suara Puan Nurain memujuk perlahan.
"Angah kan tahu, umi bukan boleh jenguk selalu. Umi ni.."
"Okay. Kalau angah rasa nak sambung di sekolah tu, nanti angah bagitahu umi. Sekarang angah naik dulu." Dia tidak mahu mendengar lanjut kata-kata Puan Nurain. Hatinya yang keras itu sebenarnya mudah sebak.
Ya, mudah mengalirkan air mata adalah antara persamaan dia dan along. Puan Nurain maklum akan sikap kedua-dua anak gadisnya.
BAB 10
Suasana kelas pada sesi prep malam itu berbeza antara kelas pelajar perempuan di tingkat atas dan pelajar lelaki di tingkat bawah.
Malam itu tidak ada pelajar perempuan yang sukarela ingin mengajar dan berkongsi ilmu dengan pelajar lain. Masing-masing sibuk dan memberi tumpuan pada laptop di atas meja mereka. Hampir semua pelajar yang membawa laptop sibuk menaip assignment yang perlu dihantar sebelum berakhirnya sem kedua mereka, pertengahan bulan itu. Mereka yang tidak membawa laptop ikut sibuk membuat editting assigment  secara bertulis.
"K." Meen menggeleng saat kepala ditala pada K di sebelahnya. Sahabatnya itu meletakkan kepalanya di atas meja dan membiarkan fikirannya melayang jauh. Pandangannya kosong menghadap Meen di sebelah. Mungkinkah masih terkenangkan peristiwa tengah hari tadi?
"Assignment kau dah siap belum?"
Meen prihatin.
"Data semua aku dah susun. Abstrak pun dah siap. Pendahuluan complete. Bahagian lain tu, nantilah aku sambung." Lemah dan senada sahaja K menuturkan. Perlahan. Bagi rakan-rakan lain yang nelihat, tentu menyangka K sedang tidur ketika itu. 
Diam-diam sebenarnya Meen kagum dengan K. Masih di peringkat awal lagi, sudah banyak elemen yang disiapkan berbanding kawan-kawan lain.
'Tidak hairanlah dia boleh tenggelam melayan emosinya. Banyak kerjanya sudah disiapkan.' Meen menganalisis keadaan K dalam hati.
"K, bangun jap. Jom teman aku beli air." Meen berhenti menaip. Dia membuat helah melihatkan K yang kurang bersemangat malam itu. Tentulah hal pagi tadi masih menganggunya. Meen pasti. Dah lama Meen kenal K.
K pandang Meen tidak beriak.
"Tak pernah, pernah kau nak ke kantin beli air time prep malam camni." Malas.
"Jomlah jalan-jalan bagi ringan kepala otak kau tu, takdelah nak melonglai je." Meen menambah.
"Taktik lapuk. Dari dulu macamni je taktik kau Meen nak console aku." K angkat kepala. Diam sekejap.
"Mana ada aku melonglai. Kau tahu aku gagah. Wirawati ni." K buat-buat berseloroh.
"Ya wirawati Hana Kaisarah. Kau dengan aku spend tiga bulan bersama, mana boleh tak tahu kegagahan kau tu." Balas Meen sambil tertawa kecil. Bila difikirkan, jodoh pertemuannya dengan K panjang. Tamat sekolah menengah mereka mendapat tawaran menyertai PLKN di kem yang serupa.
"Jomlah K." Meen memujuk.
"Hauslah." Sepatah yang terakhir itu akhirnya membuat K bangkit dari duduk.
Saat menapak keluar dari kelas sahaja Meen dan K sudah dapat menangkap suara segelintir pelajar lelaki pra universiti yang kedengaran riuh menonton perlawanan bola sepak online.
"Tak padan dengan assignment banyak semester ni." Sebaris ayat itu spontan dikeluarkan dari mulut K sebaik mereka berdua terdengar sorakan pelajar lelaki. Gol agaknya. Dia membandingkan suasana di kelas pelajar perempuan dan lelaki dalam kepalanya.
Kedua-duanya cermat menuruni tangga curam bertemankan lampu laluan tangga yang malap dan kelam.
"Tak semua macam tu." Tenang Meen menuturkan. Ketika itu mereka baru tiba di tingkat dua, tingkat kelas prep malam buat pelajar lelaki pra universiti.
Dia turut tersenyum segaris sambil pandangannya ditala pada kelas prep pelajar lelaki.
Mata Meen dikerlingkan pada satu susuk yang tidak berkutik dari tempat duduknya, membuat K ikut turut serta mencuri pandang ke arah yang sama.
Pelajar lelaki yang tidak berkutik dari tempat duduk itu, matanya difokuskan pada buku yang dipegang. Buku berjudul Sejarah dan Ketamadunan Islam. Telinganya disumbat earphone, barangkali untuk mengelakkan bunyi bising lain yang mengganggu. Ketayap putih yang dipakai sudah terlurut ke belakang menyebabkan rambut bahagian hadapannya terkeluar sedikit. Pelajar itu kelihatan menulis sesuatu berulang kali sepertinya membuat catatan. Pelajar itu memberi tumpuan pada apa yang dibacanya.
Sesekali apabila dtegur sahabat-sahabat yang sedang menonton perlawanan bola sepak di bahagian hadapan kelas, dia turut merespon pendek dihias senyum segaris.
"Umi aku cakap, tak manis tenung anak teruna orang lama-lama." Suara Meen tinggi sedikit, menyedarkan K yang sudah terulit kagum sedari tadi mencuri pandang Farhan Hakimi. Istighfar dibisikkan. Benar K meminati Kim, tetapi dia masih perlu berjaga-jaga, bimbang  pandangannya boleh menjadi ancaman pada hatinya.
Meen sudah turun ke bawah terlebih dahulu. Sebaris giginya terserlah saat dia melempar sengih buat K yang baru menapak turun.
"Setahu aku dia peminat bola sepak tegar. Boleh pulak dok fokus buku sejarah macam tunggul batu time semua orang tengok match tadi." Ulas K. Rasa kagumnya disembunyikan.
"Kau ni, dia punyalah fokus pun kau nak hairan. Baguslah dia ada momentum nak rajin dari awal semester ni." Balas Meen, sengaja memancing K meneruskan perbualan.
"Momentum berlebihan dan luar biasa di permulaan memang bagus tapi selalunya pancit tengah jalan." Laju K menuturkan.
"Susah lah nak cakap dengan pelajar cemerlang macam kau ni. Cuba optimis dan jangan pesimis sangat K. Bakal suami kau jugak kan." Terlupa isu 'suami' ini yang membuatkan K melonglai sepanjang hari. Meen menekup mulut saat perkataan itu terpacul dari mulutnya. Tidak sengaja.
"Dia rajin dan aku doakan dia konsisten. Nak capai sesuatu itu senang, nak konsisten tu mencabar." Kedengaran ikhlas. K menuturkannya dari hati barangkali. Perkataan 'suami' tidak mencuri perhatiannya ketika itu.

BAB 11
"Sabar dan syukur adalah dua sifat yang disukai Allah. Dalam hal keduniaan dan kebendaan, maka lihatlah pada orang yang di bawah agar kita sentiasa merasa cukup dan lebih baik berbanding mereka yang serba kekurangan. Maka dalam hal ini kita akan memperoleh sifat syukur atas apa yang telah dikurniakan. Dalam hal keagamaan dan ilmu, lihatlah pada orang yang lebih tinggi dari kita nescaya kita tidak merasa lelah dengan kepayahan yang kita peroleh dan sebaliknya bersabar untuk mendapatkan yang lebih baik. Hidup ini penuh dengan dugaan dan akan diuji dalam pelbagai bentuk sama ada melalui kesulitan atau kesenangan. Jalan paling selamat menempuhinya adalah dengan mempraktikkan dua sifat yang disukai Allah ini. Bersabar dalam kesusahan dan bersyukur atas kesenangan, segala pergantungan dan pengaharapan dikembalikan kepadaNYA. In shaa Allah."
Tazkirah yang disampaikan Nurin Jamilah, seorang ahli MT BADAR tingkatan lima di musollah Maghrib tadi masih terngiang-ngiang dalam telinga. K tersenyum. Dia sukakan budak Jamilah itu. Orang yang secantik namanya. Akhlaknya juga secantik rupa dan nama diberi. Setiap tazkirah yang diberi mudah diterima oleh pelajar-pelajar yang  berbagai ragam dan peringkat umur. Termasuklah dirinya, pelajar pra universiti. Pelajar dalam kategori tertua di situ.
K memuji Nurin Jamilah dalam hati. Melalui tazkirahnya tadi, dia memujuk warga asrama yang hari itu diuji. Penuh hikmah.
K memandang Meen yang sedang tidur. Kasihan sahabatnya yang muntah-muntah sejak petang tadi. Semuanya gara-gara makanan yang dihidang pihak dewan makan  tengah hari tadi telah tercemar. Ramai juga pelajar-pelajar lain yang disahkan keracunan makanan, lelaki dan perempuan. Kalut sekejap adik-adik dan sahabat ahli biro pengurusan asrama biro makanan dan santapan membuat aduan pada pihak warden dan menguruskan hal pelajar yang keracunan ke hospital petang tadi.
Kebetulan K berpuasa sunat hari itu. Maka secara kebetulan dia terlepas sesi makan tengah hari di dewan makan.
"K, hang tak tidoq lagi dari tadi?" Wanie terpisat-pisat bangun. Beberapa kali dia berdehem kecil dek suaranya yang serak dan perlahan. Dia berjalan menuju ke katil K dan Meen.
"Tak lah. Aku dah tidur tadi. Bangun nak basahkan sapu tangan ni. Meen panas lagi." Wanie mengangguk. Dalam keadaan masih mengantuk dia berjalan pula ke katil teman lain yang turut keracunan makanan.
Selaku ketua pelajar pra universiti, Wanie benar-benar menunjukkan keperihatinannya terhadap rakan yang lain.
Wanie melangkah dari satu katil ke katil yang lain, memeriksa keadaan beberapa orang sahabat yang turut keracunan makanan sebelum akhirnya dia kembali merebahkan diri, menyambung tidurnya.
K masih di katil Meen, tidak berganjak. Fikirannya bukan di situ, barangkali sedang menerawang entah ke mana-mana.
Kim. Nama Kim terpacul dalam ruang ingatan. Sudah hampir tiga bulan berlalu sejak peristiwa dia ditegur Kim secara bersemuka, sejak Kim tahu bahawa dialah gerangan yang mengaku Kim sebagai bakal suaminya. Apa khabar Kim? Dia tidak pasti sama ada Kim turut terkena keracunan atau tidak. Sekelumit dalam hati K, dia turut risau.
Lambat-lambat, akhirnya K bangun dari duduk. Dia bergerak ke ruang tengah dorm. Berbekalkan wudhu' yang diambilnya ketika ke tandas tadi, dia menunaikan solat sunat tahajud. Kerisauannya, bukan sahaja pada Meen dan Kim tetapi pada berbagai-bagai lagi perkara semuanya diceritakan dalam doanya kepada Pencipta.
*****
"Angah jangan telefon along. Along susah nak balik ke rumah ni. Umi taknak nanti along susahkan orang lain pulak. Umi taknak along risau."
Air matanya menitis lagi. Keadaan umi kebelakangan ini menyebabkan air matanya sering sahaja tumpah.
Sekalipun dia, dan along masing-sedia maklum akan keadaan kesihatan umi yang tidak baik, namun kerana along tiggal jauh dan jarang berada di rumah menyebabkan umi lebih bergantung kepadanya berbanding along. Alasan umi kerana tidak mahu menyusahkan anak sulungnya. Dia juga tidak mahu menyusahkan along tetapi dia tidak betah untuk menghadapi keadaan kesihatan umi yang semakin merosot sendirian. Sedikit sebanyak, dia merasa terbeban.
Dalam doanya sepertiga malam itu, di samping tangisnya malam itu, Hafyna Maisarah melepaskan keluhannya pada yang Maha Mendengar.
BAB 12
"Maaakk!" Suara jeritan Hana Kaisarah turut mengejutkan teman yang lain.
Nurhanim yang baru terpisat-pisat bangun membuntangkan mata sekejap, terkejut dengan jeritan separa sedar teman sekatilnya.
"K, bangun K."  Tangannya menggoncang lemah badan K yang masih berselubung dengan selimut. Sisa kantuknya masih berbaki memandangkan dia bangun awal pagi itu.
K bangun setelah dikejut beberapa kali. Dia bersila dengan mata yang masih terpejam. Mamai. Selimut masih menyelubunginya.
"Hang mimpi apa K, dok teriak pepagi buta ni?" Wanie sengaja bertanya atas dasar ingin tahu.  Ketua pelajar pra universiti itu sedang mengeringkan rambutnya yang basah di hadapan locker. Seperti kebiasaan, dia bersiap awal pagi pada hari persekolahan.
"Eh, tak ada apa lah. Mimpi je." Mendatar jawapan K. Sebenarnya dalam hati Allah sahaja yang tahu perasaannya ketika itu. Matanya menular mencari Meen.
"Meen mana?" Terbuka. K bertanya pada semua.
"Mandi lah. Awat hang tanya? Mamai lagi kaa?"
"Sekarang pukul berapa, weh?"
Suaranya senada.
"Baru masuk Subuh, elok lah hang pi siap cepat jugak. Hang pun pi siap, satgi lambat ke musolah." Setelah merespon soalan K, Wanie beralih kepada Nur Hanim di sebelah K.
'Serupa sahaja dua orang ni, mamai lagi agaknya.' Wanie menggeleng beberapa kali. Bibirnya menjungkit senyum nipis dengan keletah rakan sebiliknya pagi itu.
*****
Pagi Jumaat itu majoriti penghuni dorm Za'ba turun lewat ke musola untuk menunaikan solat Subuh berjemaah. Atas cadangan Anas, penghuni dorm tersebut bersetuju untuk mendirikan solat Subuh di dalam dorm sahaja. Penghuni dorm tersebut termasuklah Kim. Dia hilang tenaga untuk bangun awal kerana keracunan makanan tengah hari semalam.
Kim memegang perutnya. Bisanya masih terasa tetapi mujur tidak seteruk semalam. Sekalipun pelajar lelaki pra universiti yang keracunan makanan semalam dilihat sebagai kumpulan pesakit paling gagah di seantero asrama lelaki, sakit yang ditahan mereka Allah jualah yang lebih tahu. Sehinggakan ada yang berguling-guling kesakitan di atas katil ketika di dalam dorm.
Kim tersengih membayangkan rupa ketua dorm Za'ba yang menahan perit kesan keracunan semalam. Ketua dormnya yang serba nerd itu kelihatan lucu merengus dan merungut sakitnya. Sahabat lain yang keracunan turut terhibur dan mengusiknya sebelum mereka bersama-sama memujuknya. Kim mengelopak senyum pula.
Tetamu tetap qiamullail dalam kalangan pelajar lelaki pra universiti juga tidak kelihatan menjelang sepertiga malam. Mereka yang keracunan langsung tidur usai menunaikan Isyak sehinggalah terbit fajar untuk menunaikan Subuh keesokannya.
'Allah sentuh hambanya dengan sedikit musibah. In shaa Allah moga sakit ini dihitung sebagai kifarah dosa-dosa kecilku.' Bisik hati Kim.
"Woi," sergah Adib. Hilang segala throwback dalaman Kim. Wajahnya mendongak memandang Adib yang berdiri betul-betul di hadapannya.
"Budak-budak sakit takyah gi sekolah." Pandangan 'apahal?' Kim sudah dimengerti Adib. Sahabatnya langsung menjawab tanpa disoal. Kim merespon dengan anggukan. Tidak sampai beberapa minit, dia kemudiannya merebahkan badan di atas katil. Pejam.
"Woi, rezeki tak masuk kalau tidur lepas Subuh ni." Fikiran yang baru dilepaskan menerawang entah ke mana kembali ke alam nyata saat dikejutkan oleh suara Adib buat kali kedua.
"Siapa pulak yang tidur." Mendatar suaranya. Mata dibiar pejam. Yakin sahabatnya telah bergerak pergi dari situ, fikirannya dilepaskan dalam horizon minda sekali lagi. Berfikir atau berangan di pagi hari, Kim biarkan sahaja keadaan itu untuk beberapa ketika.
BAB 13
Hari itu, hanya sebilangan kecil pelajar pra universiti semester dua yang hadir. Mereka dikumpulkan di bilik kuliah dan tidak menjalani pembelajaran dan pengajaran di kelas seperti biasa.
K tekun menghadap laptopAssignment yang perlu disiapkan hanya tinggal sedikit lagi untuk dilengkapkan sebelum dia menyemak semula dan menyediakan slide untuk pembentangan assignment tersebut. Dalam ketekunannya, K tidak lepas memikirkan tentang mimpinya malam tadi. Mimpi gila! Mimpi yang membuatkan dia menjerit ketika bangun pagi. Mimpi itu juga berkaitan Kim. Tegak juga bulu romanya membayang semula mimpinya malam tadi.
K berhenti menaip. Dia tidak boleh membiarkan jemarinya terus menaip sedangkan fikirannya sudah terbang entah ke mana. Pandangannya dibiar meliar ke segenap ruang bilik kuliah. Sahabat-sahabat seperjuangannya sama sepertinya, masing-masing memerah buah fikiran dan menumpukan sepenuh perhatian di hadapan laptop masing-masing.
Sejak pagi lagi pelajar pra universiti semester dua dari tiga kelas yang berbeza dikumpulkan di bilik kuliah. K tidak nampak batang hidung Kim. K tidak hadir.
Tentu dia juga terkena keracunan makanan seperti Meen.
Risau. Lalu, K menepis jauh-jauh kerisauan itu. Dia pasti Kim tidak apa-apa. Dia mengharapkan Kim baik-baik sahaja.
"K, cikgu Ruslan panggil hang pi pejabat." Pesanan daripada Wani membuatkan K segera menoleh kepada si penyampai pesanan. Dia dapat merasa jantungnya mengepam dengan laju dan kuat. Peluh dingin mula memercik di dahi. K senyum segaris merespon sebelum segera bergerak ke pejabat cikgu Ruslan, Guru Penolong Kanan Prauniversiti.
*****
Sebaik sahaja daun pintu diselak dari luar. Empat pasang mata terus tertumpu pada figura yang barusan masuk. Kim agak terkejut sebenarnya, masih tidak mengetahui alasan dia dipanggil ke sekolah tiba-tiba.
Pandangannya ditala semula kepada cikgu Ruslan yang duduk bertentangan. Guru lelaki awal lima puluhan dan berstatus duda itu hanya tersenyum, menunggu K mengambil tempat di hadapannya.
'Senyum penuh makna..'
'Apekehal ni?'
'Farhan Hakimi. Apa salah Farhan Hakimi sehingga dipanggil ke pejabat?'
'Apa kaitannya dengan Hana Kaisarah?'
K hanya tertunduk di sebelahnya.

Cinta Sesuka Hati compiled ver. I

PROLOG

K pandang Kim dan Kim juga pandang K. Kedua-dua mereka saling berpandangan.
K memandang dengan pandangan cuak yang jelas terpamer pada wajah manakala Kim memandang dengan rasa bengang yang telah lama membekas dalam hatinya.
Akhirnya K memalingkan wajahnya dari Kim. Dia tidak sanggup lagi bertentang mata dengan orang di hadapannya itu. 'Boleh tergugat iman aku pandang mamat handsome ni lama-lama' Hatinya berbisik nakal. Cepat-cepat dia melafaz istighfar dalam diam. Bayang wajah Kim yang putih serupa anak cina itu dibuang dari kepala.
"Hana Kaisarah. Kau K?" Kim mendekat, meneliti wajah rakan sekelasnya. K mengangguk laju mengiakan. Langkahnya diundur setapak. Terasa malang sungguh nasibnya terpaksa berhadapan dengan Kim ketika itu.
'Budak ni yang buat cerita aku nak kahwin dengan dia? Gila ke apa, kawan setingkatan aku sendiri!' Kim monolog sendiri. Kim masih terkejut sebenarnya. Sungguh dia tidak menyangka Hana Kaisarah ialah gerangannya.
"Oh." Akhirnya sepatah kata dituturkan sebelum Kim juga berpaling, dan kemudian melangkah pergi dari kawasan kaki lima ke kantin yang lengang pada pagi itu.


BAB 1

Suasana Dewan Besar Al-Shafie riuh dengan suara-suara ahli jawatankuasa majlis makan malam Fame Night yang sibuk mengemas dewan sebaik sahaja majlis makan malam itu tamat beberapa minit lalu. Majlis pada malam itu dianjurkan secara bersama oleh pelajar pra universiti semester pertama dan pelajar pra universiti semester ketiga. Majlis sedemikian telah dibudayakan di sekolah tersebut sebagai sesi suai kenal antara pelajar pra universiti semester pertama dengan para guru dan ahli majlis tertinggi sekolah.
K mengeluh perlahan. Sekalipun baru bermula, dia sudah diusik rasa penat menguruskan pinggan mangkuk yang perlu dicuci. Lengan bajunya disingsing setelah dia pasti tiada siapa di situ. Jam di tangan menunjukkan pukul 10:05 malam.
'Baru lima minit cuci pinggan aku dah penat?' Dia marah sendiri.
"Inilah padahnya kalau dah terbiasa malas kat rumah." Omelnya perlahan. Selama lima minit berada di sinki yang terletak agak jauh dari dewan, dalam keadaan bergelap dan sunyi menyebabkan dia merasakan masa merangkak dengan perlahan.
"Siapa yang malas?"
"Oh mak kau!" Suara garau yang tiba-tiba menyapa membuat bulu romanya berdiri tegak. Automatik pinggan yang sedang dibilas langsung dicampak semula ke dalam sinki. Munjur pinggan plastik. Kalau pinggan kaca yang bersepai, lain pula hal yang perlu diuruskan. Kepalanya laju menoleh. Memberanikan diri mencari tuan empunya suara yang menyapa.
"Astaghfirullahal'azim." Suara K sekali lagi naik satu not dari biasa. Tangannya mengusap dada sebaik lengan bajunya dibetulkan semula.
Malap. Lampu kalimantang di sekitar dewan memberi cahaya malap pada tempat dia berdiri. K pasti ada lelaki di situ. Barangkali ahli jawatankuasa majlis.
Figura lelaki yang berdiri tidak jauh darinya ketawa perlahan. Sejujurnya dia geli hati melihat reaksi juniornya itu.
"Sorang je K?" Hafizul Haikal menampal senyum. K nampak jelas susuk tubuhnya sebaik dia melangkah mendekati sinki. Kedua-dua belah tangannya penuh dengan jug air yang dibawa dari dalam dewan.
Soalan Hafizul Haikal disambut anggukan K.
"Saya sepatutnya dengan Myasara. Tapi kitorang dah deal, saya uruskan for the first fifteen minute dan dia akan sambung for another fifteen minute sebelum bergerak ke tugas seterusnya." Kejutan yang dirasakan beransur reda. Tangan K kembali membilas pinggan mangkuk yang dicuci. Jug-jug air di tangan Hafizul Haikal juga bertukar tangan.
"K," Hafizul Haikal masih tidak berganjak. K diam tidak merespon. Dia biarkan sahaja pelajar lelaki di
sebelahnya menyambung bicara.
"Disebabkan K pinjamkan laptop K pada abang, baru abang dapat hantar assigment sebelum dateline. Haritu memang urgent sangat nak submit assignment. Masing-masing sibuk siapkan assignment masing-masing. Abang pula tertinggal laptop kat rumah." Hela nafas, hembus nafas.
"Abang bukan tak tanya pada bebudak lain, tapi diorang memang tak bawak sebab kelas korang tak mula lagi waktu tu. Nasib baik ada K. Terima kasih K."
Lembut dan senada Hafizul Haikal menutup katanya. Bibirnya mengukir senyum lebar mengenang peristiwa yang menemukannya dengan K yang ketika itu hanya dikenali dengan nama Hana Kaisarah Bt Azman.
K angkat kening double jerk. Senyum sumbingnya disembunyikan di sebalik cahaya malap. Dia tertunduk. fokusnya hanya pada pinggan mangkuk yang sedang dicuci dan dibilas. 'Duh, mamat ni buat throwback pulak dah. Acah-acah romantik betul dalam gelap-gelap macam ni.' Bebelan dan rungutan K disimpan dalam hati. Sungguh, dia tidak selesa begitu. 'Kalau menolong tak apa jugak. Ahh.. mohon pergi dari sini cepat.' Bebelan dalam hatinya disambung lagi.
"Tak ada apa lah. Kebetulan bawa, dapatlah pinjamkan." Sebaris ayat pendek sahaja yang keluar dari mulutnya. Kemudian kedua-duanya diam. Hanya bunyi air paip yang kedengaran berselang seli dengan bunyi pinggan mangkuk yang berlaga.
"Fizz!" Laungan seorang pelajar perempuan memecah sunyi dan kejanggalan yang mula ingin menguasai. K dan Hafizul Haikal serentak menoleh ke arah suara yang memanggil. Kelihatan Nur El Ain berada di luar dewan.
"Fiz, kau jangan nak curi tulang ya! Sekarang masa mengemas, bukan masa nak dating." Kaca mata bingkai tebalnya yang melurut ke bawah diperbetulkan letak pada batang hidungnya. Nur El Ain menggeleng beberapa kali. Lagaknya seperti ibu yang marahkan anaknya.
"Ye lah, ye lah. Aku datang. Aku hantar jug jug air nak dibasuh tadi!" Hafizul Haikal sempat melempar senyum manis pada K sebelum dia berlari-lari anak menuju ke dalam dewan, menyusuli Nur El Ain dari belakang.
Nur El Ain atau L. Dia merupakan pelajar pra universiti semester ketiga. Merupakan jaguh bola jaring yang handal. K pernah dengar tentang kehebatan L disebut-sebut ketika festival sukan pra universiti kebangsaan tahun lalu.
Berbalik kepada soal Hafizul Haikal. Dia sangat lega kerana akhirnya seniornya itu tidak lagi berada di situ, berdua-duaan dengannya. Sekalipun pelajar dan guru di sekolah barunya ini tidak akan memandang serong terhadap perbuatan Hafizul Haikal sebentar tadi sekiranya mereka tahu tentangnya, K tetap merasakan perbuatan itu tidak manis dilakukan. K sudah terbiasa. Dia ditarbiyah begitu oleh didikan di sekolah lamanya, sebuah sekolah agama di pinggir bandar.

BAB 2

Mereka sedang tekun mengulang kaji pelajaran ketika Heartsong dendangan Talib al Habib menganggu konsenterasi mereka buat seketika.
K mencapai telefon bimbit y ang diletak di atas katilnya sebelum telefon bimbit tersebut diletakkan kembali pada tempatnya.
"Siapa call, K?" Nurhanim bertanya.
"Mesej je," jawab K pendek. Dia kembali menelaah nota Pengajian Amnya. Peperiksaan STPM Semester Pertama yang akan bermula pada minggu hadapan menuntutnya untuk lebih fokus dari biasa.
"Semenjak dua menjak ni mesej kau selalu masuk. Abang Fiz lagi?" Nurhanim kelihatan berminat untuk ambil tahu. K diam. Meen angkat muka. Ekor matanya dilirik pada K dan Nurhanim bersilih ganti. Dia faham sangat perangai K yang tidak gemar berkongsi apa yang dirasakan privasi.
"Eh mana ada lah. Dia nak mesej aku buat apa? Kitorang takde urusan apa-apa," Bohong K. Bukan sengaja berbohong, tetapi dia kenal sangat sikap ingin tahu Nurhanim yang adakalanya melampaui batas.
"Yelah tu." Nurhanim berbasa-basi. Matanya juga kembali ditala pada buku dan nota-nota Pengajian Amnya.
*****
Tinggal mereka berdua di dewan makan. Jam hampir menunjukkan waktu tengah malam.
Butir-butir nasi goreng yang berbaki dalam pinggan dikuis dengan jari. Pendek sahaja soalannya pada Meen sebentar tadi.
"Kau nak jumpa jugak ke dengan abang Fiz tu?" Meen menjawab soalannya dengan soalan berbeza.
"Dia kata ada barang nak bagi kat aku." Jarinya masih menguis butir nasi yang tinggal.
"Barang apa? Laptop kau dia dah pulangkan kalau tak silap aku." K mengangguk mengiakan kata-kata Meen.
"Aku pun tak pasti barang apa dia nak bagi. Kau nak teman aku jumpa abang Fiz tak?"
"Aku akan temankan. Tapi, tak mahu lama-lama ya." Akhirnya Meen memutuskan. Pinggan K dicapai. Matanya dijegilkan pada teman baiknya sebagai tanda amaran 'berhenti-main-nasi-tu' sebelum kedua-dua mereka tertawa kecil.
BAB 3
Jersinya sudah mula dibasahi peluh ketika permainan sudah melepasi separuh masa pertama.
Satu demi satu wajah pelajar lelaki pra universiti semester 1 dan pelajar lelaki pra universiti semester 3 masing-masing tidak tergambar secalit risau untuk menghadapi kertas peperiksaan pada hari esok. Mereka benar-benar menikmati game bola sepak pada petang itu.
"Kim! Kau nampak Fizz tak?" Figura tegap yang sedang berlari anak dari tengah padang itu menjerit lantang bertanyakan perihal rakannya.
Kim yang tengah melepaskan lelah di bangku angkat muka. "Kantin! Kantin!"  Jari telunjuknya diarahkan ke kanan kawasan padang sekolah. Wajah putihnya yang semakin kemerahan dek panas petang itu terserlah sekejap.
Kim menoleh ke kanan, menoleh ke arah kantin. Mungkin rakan-rakan sepermainannya petang itu tidak perasan. Tetapi Kim cukup kenal orang yang dilihatnya sedang bersama Hafizul Haikal di kantin. Bertiga. Hafizul Haikal, Meen dan dia. Kim hela nafas lega.
Dia kembali memandang padang. Dia dapat lihat Ayisy melambaikan tangan memanggilnya untuk game pada separuh masa kedua.
'Cemburu?'
'Cemburu sebab..'
'Suka?'
'Gila..'
'Gila kau tak suka?'
'Dia baik. Setakat hampir enam tahun kenal ni, dia memang baik.'
Bibirnya mengelopak sengih kecil. Geli hati nak bermonolog sendiri soal rasa. Mulalah ke laut jadinya. Kim mengetatkan ikatan kedua-dua belah tali kasutnya. 'Daripada ke laut, lebih baik aku ke padang.' Getus Kim dalam hati sambil berlari-lari anak ke tengah padang.
Esok nak periksa, belum sampai waktu untuk fikirkan tentang dia.
*****
"Abang sukakan K." Perlahan sahaja suara garau di hadapan menuturkan.
Bukan perlahan kerana pengecut.
Perlahan yang gentleman barangkali. Ahh... pedulikanlah gentleman. Bukan jenisnya yang melayan pengakuan dan luahan perasaan sedemikian rupa.
K diam. Cuba mengakses bait-bait yang keluar dari mulut seniornya. Dia yakin Meen yang duduk tidak jauh dari mereka tentu dengar juga pengakuan Hafizul Haikal barusan ini.
"Oh," K tidak punya kata-kata lain untuk merespon. Dia diam lagi.

BAB 4
Meen sedang belek-belek buku yang tersusun di bilik kuliah ketika K melangkah masuk ke bilik tersebut.
Cepat-cepat Meen tinggalkan buku di tangan sebaik perasan kehadiran K. Lama menunggu, dia juga dijengah rasa jemu. Sayangnya mereka tidak dibenarkan pulang ke asrama waktu itu. Kebanyakan pelajar pra universiti semester 1 berada di surau sekolah, merehatkan diri yang penat bertempur dengan kertas soalan peperiksaan sejak tiga hari sebelumnya.
"Habis dah, catatan jawapan kau?" Soal Meen yang sedia maklum jawapan K. K mengangguk. Dia turut tersenyum puas.
"Kau pulak, kenapa nak tahu sangat jawapan aku pada abang Fizz? Masih boleh sabar dan tunggu?" K menduga. Meen menggeleng kepala.
"Dah cukup berzaman aku tunggu kau punya jawapan tu. Aku bukan nak tahu sangat. Aku nak tahu je."
"Macam tak ada beza je dua-dua." K masih bermain tarik tali. Meen mengangguk, mengiakan perbezaan antara kedua-dua perkara yang disebutkan sebentaf tadi.
"Aku ambil berat, sebab tu aku bertanya. Andaikanlah kalau kau cakap kau pun suka dia, kemungkinan besar esok lusa tak mustahil korang couple." Meen merangka hipotesis sendiri. K menjegilkan mata, memberi amaran pada andaian melulu Meen.
"Kau tahu pun tahu, aku tak main couple couple ni." Pendek. Sememangnya itu pendirian Hana Kaisarah yang dipegang sejak dulu lagi. Meen kenal K. Meen juga merupakan rakan sekolahnya sejak dia di tingkatan satu di sekolah lama mereka. Meen ikut merasa tarbiyah dan bi'ah yang serupa. Meen tahu.
"Aku tahu. Baguslah tu. Itu je yang aku nak pastikan sebenarnya. Hmm.. so, kau cakap apa untuk tolak luahan cintan abang Fizz?" Meen merespon laju, tidak teragak-agak dengan soalan seterusnya.
"Aku tak tolak lah. Nak tolak apanya? Dia bukan ajak aku kahwin ke hape yang perlu ditolak. Dia cuma luahkan perasaan dia." Meen masih pandang K, menanti ayat berikutnya.
"Nak luahkan tu hak dia. Aku, cakaplah jugak yang aku tak ada perasaan pada dia." K menoktahkan ayatnya.
"Sebab kau simpan perasaan pada Kim," Meen menyambung. Selama lima tahun berada di sekolah lama sebelum ini, perasaan K pada Kim adalah rahsia terbesar K yang disimpannya. Rahsia yang paling sukar disimpan kerana Kim juga berada di sekolah yang sama dengan mereka.
K tersengih. Malu-malu alah mendengar bait-bait yang keluar dari mulut Meen. Dia memang cemerlang menyembunyikan perasaannya daripada sesiapun tetmasuklah Kim sendiri. Tetapi K kalah dengan Meen.
"Bukan takat sebab aku suka Kim semata-mata." K meghela nafas masuk dalam rongga peparunya. Dia cuba bersedia untuk humban rahsia besar keduanya buat Meen yang masih mendengar.
"Aku dengan Kim dah bertunang. In shaa Allah lepas selesai semester tiga tahun depan." Senada. Satu nafas K menuturkan.
Jatuh rahang Meen yang duduk bertentangan dengannya.
"Lawak apa ni, K?" Soal Meen, tak percaya.
"Lawak ke? Sungguhlah. Semuanya dalam perancangan lagi. Aku dengan dia pun baru lagi tunangnya. Sebab tu aku diam kebelakangan ni." K mengiakan. Meyakinkan gayanya.
"Memang macam tak percaya, kan?" Hmm.." K pandang Meen yang diam kejap. Mengharap sahabatnya percaya.
"Yelah. Tiba-tiba macam ni. Susah aku nak telan pengakuan kau ni."
Suara Meen perlahan. Hatinya masih berbelah bahagi.
"Aku memang tunggu last paper ni nak bagitahu kau."
"Ya Allah, K! Selama ni kau simpan perasaan pada dia. Siapa sangka Allah permudahkan jodoh kau dengan dia. Tahniah K." Meen percaya.
Bergenang kolam mata Meen. Bahu K dirangkul erat dalam pelukannya.
Kelu lidah Hana Kaisarah Bt Azman. Bulu romanya berdiri tegak dek kata-kata sahabat baik yang gembira dengan beritanya. Hatinya terusik dalam rangkulan Meen. Kolam matanya ingin ikut bergenang melihat Meen sebegitu rupa.
Prank nya mengena. Senyap.
"Sebab perkara ni kau cakap kau tak ada perasaan pada abang Fizz?" Meen menyoal sebaik pelukannya dileraikan. Wajah Hafizul Haikal yang berlegar dalam horizon minda buat dia tertanya-tanya.
"Aku tak cakap apa-apa pun sebenarnya semalam. Aku tukar topik."
"Lah, mesti abang Fiz tertunggu-tunggu jawapan kau K."
"Tak adanya lah. Hmm.. lagipun, Kim yang suruh diam-diam pasal hal ni. Benda belum jadi lagi kan, segan pula nak hebah pada orang."
Meen mengangguk bersetuju dengan kata-kata K.
K. Hana Kaisarah masih meneruskan misinya. Seingatnya tadi mahu berhenti. 'Kalau Linda boleh buat, aku juga boleh. Alah, sekali ini je.' K pujuk hati sendiri.
Kata-kata yang disebutnya tentang Kim terasa hidup. Hatinya terusik lagi.

BAB 6
K bangkit dari pembaringan. Terpisat-pisat tangannya meraba, mencapai jam di sisi. Pukul 3 pagi. 'Baru tiga jam tidur.' Bisikan kecilnya disusuli keluhan perlahan. Lebih kurang tujuh jam sebelum dia menduduki peperiksaan bagi kertas Ekonomi.
K tidak boleh tidur, bukan kerana risaukan peperiksaannya. Barangkali kerana dia risau memikirkan sahabatnya, Meen. Mata K meliar ke segenap pelusuk dorm yang sederhana luas. Hanya sebilangan pelajar yang tinggal. Bakinya telah pulang ke rumah kerana mereka tidak mengambil kertas Ekonomi sebagai subjek dalam STPM semester tersebut. Termasuklah Meen. Meen juga telah pulang ke rumah, lebih awal dari waktu yang dirancangnya. Terlalu awal sehinggakan K tidak berkesempatan memperbetul cerita yang direka sesuka hatinya setelah tamat kertas Pengajian Am sebelum ini.
K mengeluh lagi. Meen pulang dengan cerita dan rasa percayanya bahawa dia dan Kim telah bertunang.
'Ahhh... Kalaulah perkara tersebut benar-benar berlaku.' K tersenyum kelat. Mereka. Dia dan Kim jarang bertegur sapa ketika di sekolah lama dahulu, sekalipun ditempatkan di kelas yang sama selama lima tahun berturut-turut. Mereka berada di dalam kelas yang berbeza di sekolah baru ini. Boleh jadi Kim tidak mengenali dirinya. Tambahan pula Kim tidak pernah tahu soal hati K yang menjadi rahsia. Mana mungkin pelajar lelaki itu bertunang dengannya. Mustahil. Tegas K.
Lambat-lambat K bangkit, tudung yang digantung pada birai katil dicapai. Walaupun penat mengulang kaji sehingga tengah malam tadi masih bersisa, dia menapak keluar juga untuk ke tandas. K tekad, rasa bersalah dan gelisahnya perlu dihumban jauh-jauh demi menduduki peperiksaan bagi kertas terakhirnya hari esok dengan lancar dan tenang. Satu cara sahaja, iaitu dengan bermohon padaNYA.
Gerimis mula turun. Suasana di luar masih gelap. Hanya lampu kalimantang yang menyimbah cahaya malap pada koridor asrama menjadi peneman dia menapak kembali ke dalam dorm.
Dua pertiga malam itu menjadi saksi rukuk dan sujud K dalam sembahyang sunat tahajudnya.
*****
Kim menguap besar. Cepat-cepat tangannya menekup mulut, diikuti lafaz istighfar yang ditutur perlahan. Tikar sejadahnya dilipat dua sebelum disidai pada ampai kayu ukir dalam bilik.
Kim pandang jam dinding yang tergantung. Pukul 4:45 pagi. Kurang sejam sahaja lagi sebelum azan Subuh berkumandang. Selesai qiamullail, dia kembali merebahkan badan di atas katil. Pejam.