Prolog
“Sesungguhnya apabila seorang muslim itu berjalan di atas jalan dakwah,
ia tidak berjalan dengan hatinya sahaja bahkan dibawa bersama hati saudaranya
justeru setiap pahala yang didapati sepanjang perjalanannya,
pasti akan terbias buat saudara seperjuangannya
-Mustafa Masyhur-
Terngiang-ngiang suara-suara barisan kepimpinan muslimat madrasah yang cekap berdiskusi sesama mereka. Sesekali membuatkan Wani kagum dengan sahabat-sahabatnya itu. Peristiwa tengah hari tadi ketika di sekolah terlayar entah buat kali ke berapa dalam kotak fikirannya. Wani mengeluh perlahan mengenangkan apa yang diperkatakan dan apa yang telah berlaku. Buku rujukan, buku nota serta beberapa buku latihan Biology dibiarkan di atas katil, tidak terusik. Leka dengan fikirannya yang jauh menjelajah ruang waktu. Bantal merah berbentuk hati dipeluk erat.
“Kak, abang ni.” Sapaan ringkas oleh abang kembarnya disusuli ketukan pintu. Perlahan-lahan pintu biliknya dikuak oleh Syafiq. Figura tegap itu kemudiannya mendapatkan tempat di meja studi menghadap Wani yang sedang duduk bersila di atas katil bujang.
“Abang tengok macam ada yang tak kena je dengan akak hari ni. Akak okay tak?” Soal Syafiq perihatin. Sekalipun Hawa Hanani tidak bercerita apa-apa kepadanya, sebagai kembar, Fatihi Syafiq pasti dapat mengagak bahawa sesuatu sedang menganggu sebahagian lagi dirinya itu. Di samping itu, dia juga gusar, takut-takut sakit adik kembarnya, menganggu lagi.
Wani tidak merespon soalan Syafiq sementara Syafiq pula masih kekal di posisinya; tidak berganjak pergi. Dia pasti Wani akan buka mulut kerana yakin ada sesuatu sedang bermain dalam benak adik kembarnya.
‘Hati, kuatkan lah semangat demi ukhuwah dan bia’ah solehah di madrasah.’ Monolog Wani, memujuk hiba dan debar yang menyapa tangkai hati. Diam.