Thursday, August 5, 2010

TAKDIR -1-




Salam :: kredit to :: langitilahi




Cheritera 1


Bergerak


Api marak kelihatan di sana sini. Asap berkepul ke udara. Runtuhan bangunan menyelimuti bumi. Mayat-mayat bergelimpangan tidak mampu dikira lagi. Bau darah hanyir naik memenuhi suasana. Bersama dengan kehadiran burung pemakan bangkai, suasana matahari terbenam di kota bernama Terulung ini sangat menyayat hati yang memandang.

Kota malang ini baru sahaja menjadi saksi kepada kehebatan tidak terhingga Sang Asura dan bala tenteranya. Kerajaan Utopia yang hanya mempunyai kekuatan 10 juta tentera, berjaya menumbangkan tentera Kesatuan Lima Wilayah yang kekuatannya mencecah 100 juta.

Kota Terulung yang menjadi benteng pertahanan terakhir tentera Kesatuan Lima Wilayah, akhirnya terheret untuk merasai kehancuran akibat kekejaman Sang Asura. Tiada yang diberikan kasihan. Orang tua yang tidak larat, perempuan-perempuan walau yang sedang sarat, hatta anak-anak kecil yang belum punya kudrat, semuanya dibunuh tanpa belas.

Semua bangunan diruntuhkan, tanaman-tanaman dibakar.

Dalam masa sehari, seluruh Kota Terulung hanya tinggal padang jarak padang tekukur.

Di tengah keadaan yang menyayatkan ini, kedengaran satu suara.

“Isk, isk”

Suara itu milik seorang budak lelaki, berumur sekitar 10 tahun, sedang bergerak mengengsot ke arah mayat seorang wanita.

“Ibu, ibu…” Dia cuba mendapatkan wanita itu dengan gigih. Langsung tidak dia hiraukan perutnya yang sedang terkoyak dan mengalirkan darah itu. Air matanya mengalir perlahan pada kulitnya yang dikotori habuk hitam kebakaran.

Dia sudah hampir dengan mayat wanita itu. Tetapi kudratnya tidak mengizinkan. Pergerakannya terhenti. Dia kehilangan tenaga. Sakit di perutnya sangat terasa. Dia telah kehilangan banyak darah. Lantas dia melentangkan tubuhnya.

Matanya memandang ke langit yang sudah mula memerah.

Apakah dia akan mati begini?

Dia tidak mahu mati. Dia ingin menghapuskan Sang Asura yang telah membawa porak peranda dalam kehidupannya ini. Dia ingin menuntut bela atas kematian ibunya. Dia ingin membalas kekejaman tentera Utopia yang telah meragut nyawa rakan-rakan sepermainannya.

Tetapi nampaknya, semua itu hanya akan terpasung dalam dirinya. Dia tidak melihat harapan untuk meneruskan kehidupan. Pandanganya telah mula kabur. Dia mula terasa sangat haus. Perlahan-lahan dia merasakan kesakitan yang teramat sangat. Apakah ini sakaratul maut?

“Ha.. di sini rupanya kamu” Satu suara menggetarkan gegendang telinga.

Dia berusaha membuka mata. Kelihatan seorang lelaki tua berpakaian jubah serba hitam, bersama tongkat kayu di tangan kanan, berambut dan berjanggut putih. Lelaki tua itu bergerak segera ke arahnya, dan memangkunya.

“Kamu kena terus hidup!” Suara lelaki tua itu kedengaran.

Dia tidak mampu berkata apa-apa. Pandangannya kabur semula.

Lama kelamaan menghitam.

Gelap.

*****

Angkasa membuka mata.

“Astgahfirullah…” Dia mengusap wajahnya.

Termimpi akan hari dia pertama kali bertemu dengan Bapa. Tika itu jugalah Bapa menyelamatkannya dari kehilangan nyawa. Semenjak itu, dia dibesarkan oleh Bapa di satu tempat bernama Edge. Tempat terpencil dari kehidupan manusia, jauh dari ketamadunan insan, terpencil dari persengketaan dunia.

Bersama Bapa dia dibesarkan dan dididik menjadi seorang yang benar-benar mengenal Allah SWT. Bapa juga memupuk kekuatannya dengan seni mempertahankan diri. Satu bicara bapanya yang sering diulang-ulangi adalah:

“Kau manusia terpilih wahai anakku”

“Apakah yang Angkasa terpilih wahai bapa?”

“Terpilih untuk mengubah dunia”

Dan dia membesar dengan semangat untuk membebaskan dunia dari cengkaman Sang Asura.

“Ah, panjang pula berkenang-kenangan” Angkasa menghela nafas. Dia memandag ke langit, ternyata waktu Subuh sudah masuk. Lantas dia turun dari batang pokok yang menjadi tempat tidurnya. Dia ingin bergerak ke sungai yang berdekatan.

Dia tidur di atas pokok memandangkan Tanah Lapang dihuni oleh banyak binatang buas. Sesuai dengan namanya, kawasan ini benar-benar lapang tanpa banyak tempat perlindungan. Pokok-pokok pun tidak banyak. Dalam jarak yang panjang, hanya akan dijumpai dua atau tiga pokok yang besar. Selebihnya, hanya tanah rumput yang luas. Sudah beberapa kali dia diserang binatang buas dalam perjalanannya ini. Namun dengan seni tempur yang diwarisinya daripada Bapa, semua itu berjaya ditangani dengan mudah.

Mujur ada Sungai yang mengalir merentasi Tanah Lapang ini. Sumber sungai ini adalah dari kawasan pergunungan yang hendak dituju oleh Angkasa. Maka untuk mengelakkannya dari sesat, Angkasa memilih untuk menyusuri sungai. Mengikut maklumat yang dikumpulnya di Duarte, dia akan berjumpa perkampungan kecil sebelum mendaki pergunungan untuk pergi ke Tanah Haraam.

Angkasa mengambil wudhu’ dari air sungai. Kemudian melaksanakan dua rakaat solat. Seterusnya dia bangun lagi dan mendirikan lagi dua rakaat solat. Dua rakaat yang pertama adalah Solat Sunat sebelum menunaikan Dua Rakaat yang kedua yang merupakan Solat Subuh. Bapa mendidiknya agar tidak meninggalkan Solat Sunat Dua Rakaat Sebelum Subuh. Bapa berpesan bahawa Utusan Langit Terakhir ada bersabda:

“Dua rakaat sebelum Subuh itu lebih disukai dari dunia dan segala isinya”

Selesai memberi salam yang kedua, Angkasa duduk bertafakur sebentar.

Sudah tiga hari dia berjalan meninggalkan Duarte. Hari ini, kemungkinan pada waktu tengahari dia akan tiba ke perkampungan yang diperkatakan. Kawasan pergunungan yang ingin direntasinya juga sudah kelihatan besar sebagai tanda jaraknya sudah amat hampir.

Angkasa mengangkat kedua belah tangan ke langit. Memohon kepada Yang Maha Berkuasa, agar perjalanannya terjaga dan dirinya diberikan kekuatan untuk sampai ke Tanah Haraam. Tidak lupa dia menyelitkan doa untuk Bapa.

Selepas itu, Angkasa melompat naik ke pokok yang menjadi tempat tidurnya tadi untuk mengambil bungkusan bekalan perjalanannya, dan pedang warisan bapanya.

“Bismillah…” Angkasa melangkah meneruskan perjalanan, walaupun mentari belum lagi menunjukkan sinarnya.

Tanpa Angkasa sedari, segala gerak gerinya itu diperhatikan.

Dari Duarte, dia telah diikuti.

****

Sekumpulan kanak-kanak kelihatan sedang bermain salji dengan sangat gembira. Mereka baling membaling sesama sendiri dengan seronoknya. Keceriaan terpapar dengan jelas sekali pada wajah mereka. Tiba-tiba mereka berhenti bermain apabila perasan akan kehadiran seseorang. Ibu bapa yang ada di kawasan itu juga berdiri serta merta.

Dengan wajah yang manis dan kelihatan seakan sangat bahagia, kanak-kanak merapati orang itu. Para ibu juga berebut bersalaman dengan orang itu dan mengucapkan pujian serta penghormatan kepadanya. Para bapa menunduk hormat bersama senyuman.

Orang itu adalah seorang perempuan yang sangat cantik. Sedang berpakaian putih yang tebal bersama kepalanya yang tertutup menyembunyikan rambut. Pakaiannya yang sederhana tidak menghalang keindahan peribadinya. Anak-anak semuanya kelihatan amat senang bersamanya. Ibu bapa juga kelihatan bahagia dengan kehadirannya.

Masyitah terus tersenyum manis melayan semua.

“Seronok ya?” Dia mengusap-usap rambut seorang anak kecil.

“Em” Anak kecil itu mengangguk sambil menunjukkan gumpalan tanah putih pada kedua telapak tangannya. Kemerah-merahan tangan anak itu kesejukan. Tetapi dia tidak peduli kerana sangat gembira dengan fenomena yang tidak pernah dialaminya itu.

“Mainlah, tapi hati-hati ya?” Masyitah memegang kedua tangan anak kecil itu dan menutupkannya, menggumpal salji itu dengan tangan itu.

Anak kecil itu tersenyum gembira. Masyitah juga tersenyum sehingga kelihatan barisan giginya yang putih.

Dia dan rakan-rakannya berlari bermain dengan gembira. Semua yang melihat tersenyum sahaja. Masyitah langsung tidak kekok dengan rakyat jelata. Walaupun merupakan Puteri kepada Ruh Faizan yang amat dihormati dan disegani, Masyitah langsung tidak pernah meninggi diri.

Dia ibarat rembulan indah yang menyenangkan manusia dengan cahaya yang dipantulkan dari matahari. Akhlak Islami yang terdidik dalam diri Masyitah ibarat cahaya dari matahari dan Masyitah adalah yang memantulkan keindahan itu daripadanya. Semua rakyat Tanah Haraam mengenali Masyitah dan menyenanginya. Lebih-lebih lagi rakyat di Ibu Negara Tanah Haraam, Bumi Makkah.

“Bila Ayahanda berjalan dengan anakanda, mesti ayahanda seakan-akan berada di bawah bayang-bayang anakanda” Suara Ruh Faizan kedengaran.

Masyitah menoleh sambil tersenyum. Perlahan-lahan dia bangun. “Mana ada ayahanda. Semua orang menghormati anakanda kerana anakanda adalah anak kepada ayahanda” Rendah diri.

Ruh Faizan menggeleng dengan garisan manis. “Kalau kamu bukan anak ayahanda, pasti rakyat tetap mencintai kamu Masyitah. Kamu punya akhlak yang sangat cantik”

“Hasil didikan ayahanda” Masyitah merapatkan diri kepada Ruh Faizan. Dalam apa jua hal, Masyitah tidak pernah meninggikan dirinya. Dia terdidik dengan didikan syurga.

Ruh Faizan menggeleng lagi. “Didikan arwah bondamu sebenarnya. Sebab itu kamu amat mirip dengannya”

Masyitah mengangguk perlahan. Terkenang dia akan bondanya. Mati di dalam satu peperangan di luar Tanah Haraam 9 tahun yang lalu. Bondanya menemani ayahandanya ketika itu, dan mati kerana berusaha menyelamatkan ayahandanya dari serangan hendak musuh.

Ayahanda amat terluka dengan apa yang terjadi. Bondanya sebelum itu adlaah ibarat sayap ayahanda. Banyak urusan ayahanda dipermudahkan dengan kehadiran bonda. Kehilangan bonda memang menguji ayahandanya. Seluruh rakyat Tanah Haraam ketika itu berkabung bersedih hati. Semua sangat mencintai bondanya. Apatah lagi ayahandanya. Namun dia lihat ayahandanya tetap berusaha untuk tabah. Tetap tenang berurusan dengan rakyat, tetap cekal mengharungi peperangan demi peperangan.

“Ayahanda terkenang akan bonda?” Masyitah bertanya sambil langkahan mereka diteruskan.

Ruh Faizan mengangguk perlahan. Matanya memandang sekeliling. Setiap kali berbicara berkenaan isterinya, hatinya akan sebak dengan sendiri.

“Masyitah, kamu jangan tinggalkan ayahanda ya?” Ruh Faizan menoleh tepat ke arah anakandanya.

Masyitah terjeda sebentar. Kasihan ayahandanya. “InsyaAllah ayahanda. Jangan ayahanda risau. Anakanda dan kekanda Aizan akan sentiasa berusaha menemani ayahanda”

Ruh Faizan menggaris senyuman. Bahu Masyitah dipegang erat dan tubuh anakandanya itu didekatkan. Keeratan mereka yang terzahir, menumbuhkan lagi rasa cinta rakyat kepada mereka. Rakyat memandang pemimpin sebagai qudwah. Jika pemimpin menunjukkan kebaikan, maka rakyat akan tersemai dengan cinta dan kasih sayang. Begitulah sebaliknya jika pemimpin menunjukkan akhlak yang buruk.

Dalam menyayangi keluarganya, Ruh Faizan tidak pernah berselindung. Keeratannya dengan ahli keluarga boleh berlaku bila-bila masa.

“Tuanku, tuanku!”

Ruh Faizan dan Masyitah menoleh ke arah suara itu. Kelihatan seorang tentera sedang memacu kuda mendekati mereka berdua. Belum pun kuda itu hampir kepada mereka berdua, tentera itu sudah terjun turun. Nampak sungguh dia sangat tergesa-gesa. Pasti ada berita yang besar bersamanya.

“Bertenang, bertenang.” Ruh Faizan mengangkat kedua tangannya apabila tentera itu berhenti di hadapannya dalam keadaan termengah-mengah.

“Apa yang berlaku?” Ruh Faizan menepuk kedua bahu tentera itu. Langsung tidak membezakan darjat antara mereka berdua.

“Tentera Wilayah Ethan kelihatan di hadapan sempadan, tuanku!”

Mata Ruh Faizan membesar. Masyitah turut terkejut. Tentera dari kerajaan Midori yang dipimpin oleh Jeneral Rafael baru sahaja berundur. Kini tentera dari kerajaan Ethan pimpinan Jeneral O pula mampir. Belum pernah lagi Sang Asura melaksanakan serangan bertali arus seperti ini.

Ruh Faizan menghela nafas. Asap nipis keluar mengiringi helaannya.

“Seru Aizan Fahmi, Mughirah Syu’bah dan Waqqas Qadri untuk menyertaiku ke sempadan sekarang juga. Arahkan mereka membawa bala tentera mereka”

Masyitah memandang Ruh Faizan. “Ayahanda, mengapakah ayahanda perlu turut serta?”

“Nampaknya, Sang Asura sudah amat serius dalam meruntuhkan Tanah Haraam. Justeru, ayahanda tidak lagi boleh bergerak seperti biasa. Ayahanda perlu melihat sendiri peperangan ini”

Masyitah diam. Wajahnya risau. Ruh Faizan perasan akan perubahan wajah anakandanya itu. Lantas dirapatkan Masyitah ke dadanya.

“Bertenang anakanda. InsyaAllah, tidak akan ada apa-apa perkara buruk yang terjadi. Bukankah biasanya tentera musuh akan berundur?” Belakang kepala Masyitah diusap-usap.

“Hati-hati ayahanda. Kirimkan pesan yang sama kepada kekanda”

“Baik, insyaAllah” Ruh Faizan pantas berpaling dan bergerak bersama tenteranya tadi.

Masyitah hanya memandang sahaja ayahandanya yang telah berumur 60-an itu. Ayahandanya memang punya semangat yang sangat kental.

“Aku hendak turut serta juga” Masyitah pantas bergerak meninggalkan tempat dia berdiri.

Dia ada rancangan sendiri.

****

“Kenapa tergesa-gesa kita hendak berpatah semula ke sana?”

“Aku mendengar berita bahawa Tanah Haraam turun salji”

“Maka kita hanya perlu memaklumkan kepada Raja Ali bahawa di sana turun Salji”

Dia memandang kepada rakannya itu. Tubuh rakannya yang agak tinggi menyebabkan dia terpaksa sedikit mendongak.

“Kau ni, sejak bila jadi pemalas?”

Rakannya ketawa. “Arnav, aku bergurau sahaja”

Lelaki bernama Arnav itu tersengih sambil menggeleng. Mengada-ngada.

“Ashok, kau juga dengarkan bahawa tentera Wilayah Ethan sudah berada di sempadan Tanah Haraam?” Arnav merujuk kepada maklumat yang baru mereka dengari.

Ashok, atau nama sebenarnya Ashoka Valavan ketawa kecil. “Iya, iya. Aku dengar”

“Kalau dengan kau, semua perkara menjadi jenaka. Sudah, sekarang kita perlu ke sana dengan pantas.” Arnav hendak berpaling dengan pantas.

Namun tersilap langkah, Arnav terlanggar seseorang dengan agak kuat. Ashoka menoleh ke arah sahabatnya itu. Arnav sudah terduduk bersama dengan seorang lagi pemuda yang sedang memegang kepala.

“Aduh…” Arnav mengusap dahi. Matanya menyepet, memandang manusia yang dilanggarinya. “Maaf, maaf”

Pemuda di hadapannya tersenyum sahaja.

“Tidak mengapa, tidak mengapa” Tangan pemuda itu mencapai bungkusan dan pedangnya.

Ketika ini, Arnav sempat memandang pedang yang berada di tangan lelaki itu. Namun belum sempat dia berkata apa-apa, tubuhnya telah terangkat terlebih dahulu. Ashoka membantunya bangun.

“Weh, aku tahu bangun sendiri la” Arnav mencemik kepada Ashoka.

Ashoka hanya ketawa. Memang dia sengaja memperlakukan Arnav seakan-akan anak yang baru belajar berjalan. Seronok bercanda dengan sahabat.

Ketika ini, Arnav menoleh semula kepada pemuda tadi.

“Eh?”

Pemuda itu telah tiada. Arnav menoleh kiri dan kanan. Dia tidak melihat kelibat pemuda tadi. Dalam kesesakan ramai di perkampungan ini, pemuda seperti itu agak sukar dicari.

“Kenapa?” Ashoka bertanya. Turut memandang sekeliling.

“Pemuda tadi… hilang”

“Kau dah minta maaf. Tak mengapalah”

“Bukan, pedang pemuda itu ada mengeluarkan aura yang aneh”

“Ha?” Ashoka memandang Arnav. Arnav juga memandang Ashoka. Matanya serius.

Tiba-tiba Ashoka mengangkat tangan dan melekapkan telapaknya pada dahi Arnav.

“Kau demam?”

“Hish” Tangan Ashoka ditepis. “Aku serius lah”

“Tapi aku tak perasan apa-apa pun tadi” Ashoka kehairanan. Dia juga mampu mengesan aura. Tetapi dia benar-benar tidak perasan apa-apa yang pelik dengan pemuda tadi.

Arnav diam. Mungkin benar dia tersilap. Tetapi…

“Ah, sudahlah. Kita kena segera bergerak ke Tanah Haraam”

“Jom”

Mereka berdua membelah lautan manusia menuju ke arah tempat kuda mereka ditambat. Perkampungan ini adalah perkampungan di sisi pergunungan yang menjadi sempadan antara Wilayah Ethan, Wilayah Duarte dan Kerajaan Tanah Haraam. Arnav dan Ashoka hakikatnya baru pulang dari Sempadan Tanah Haraam selepas membantu Kerajaan itu dalam peperangannya dengan Wilayah Midori.

Sebagai Jeneral dari Kerajaan ‘Hijau’ Chinmayi yang bersekutu dengan Kerajaan Tanah Haraam, Arnav dan Ashoka telah ditugaskan membantu Kerajaan Tanah Haram dalam mempertingkatkan kekuatan pertahanan kerajaan itu.

Apabila mendengar Wilayah Ethan bawah pimpinan Jeneral O Zero sudah berada di sempadan Tanah Haraam, mereka nampaknya tidak boleh bergerak pulang ke Chinmayi lagi. Mereka perlu kembali semula ke Tanah Haraam untuk membantu. Walaupun hakikatnya, mereka pasti akan terlewat. Memandangkan perjalanan dari Perkampungan ini ke Tanah Haraam memakan masa lima hari jika menunggang kuda.

Namun mereka tidak mahu berputus asa.

Mereka memilih untuk berusaha.

Moga-moga Tanah Haraam mampu melepasi ujian ini.

****

Angkasa mengusap-usap dahinya sambil berjalan di tengah kesesakan masyarakat.

Sakit terhantuk dengan seorang pendekar tadi tidaklah seberapa sangat. Cuma lebih kepada terkejut. Dan Angkasa dapat merasakan aura yang amat harmonis keluar dari tubuh pendekar tadi.

“Ah, kenapa la aku tidak bertanya namanya tadi” Angkasa menepuk dahinya perlahan.

Dia telah sampai ke perkampungan ini. Dia ingin berehat sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Haraam.

Dan Angkasa masih tidak menyedari bahawa dia sedang diikuti dan diperhati.

****

Pedang gergasi dipacak ke tanah. Dia duduk dalam keadaan yang sangat angkuh. Berzirah perang dari hujung kaki hingga ke hujung kepala, bertopeng yang hanya menampakkan mata, bersama mantel kebesaran yang megah, dia meletakkan kedua belah tangannya di atas pemegang pedang.

Matanya mencerun memandang benteng Kerajaan Tanah Haraam yang belum pernah berjaya ditembusi oleh mana-mana Jeneral Utopia. Termasuk dirinya, semua Jeneral Utopia pernah mencuba kecuali Ketua Jeneral Utopia, Long Berk.

Dalam masa 10 tahun ini, sudah banyak kali Kerajaan Utopia mencuba untuk menumbangkan Tanah Haraam. Pelbagai strategi dicuba dan dijalankan, namun tidak pernah satu pun berjaya.

Tanah Haraam mempunyai perlindungan yang sangat ampuh. Sekeliling sempadannya dikorek parit yang besar lagi dalam. Untuk memasuki Tanah Haraam, hanya ada satu jalan sahaja. Itulah yang terbentang di hadapannya kini. Sebuah jambatan besar di hadapan pintu gerbang. Namun kawasan ini dijaga dengan amat ketat.

Walaupun tentera Utopia terkenal dengan kekuatan yang tiada tandingan, serta Jeneral-jeneralnya amat masyhur dengan kekuatan yang tidak akan mampu dicapai oleh insan, Tanah Haraam tetap tidak mampu ditembusi. Setiap kali tentera Utopia bergerak di atas jambatan itu, kekuatan tentera akan menjadi lemah secara sendirinya. Seakan-akan ada tangan ghaib yang menekan.

Perkara ini terjadi banyak kali semasa awal-awal serangan ke Tanah Haraam dilakukan. Menyebabkan kehilangan yang sangat besar pada pihak Utopia. Sebab itu Sang Asura melarang mana-mana Jeneralnya untuk merentasi sempadan Tanah Haraam. Tugas serangan yang bertali arus ke atas Tanah Haraam hanyalah bertujuan untuk mengurangkan bilangan tentera mereka dan melemahkan kekuatan mereka dalam jangka masa yang panjang.

Sekarang, Tanah Haraam yang sememangnya terkenal dengan suhunya yang amat panas ini, dituruni salji pula. Seakan-akan berada di Kepulauan Utopia tempat Sang Asura bersendiri. Seakan-akan suhunya telah berubah kepada suhu-suhu tempat lain di dunia yang ada musimnya akan menjadi sejuk sehingga turunnya salji.

Tanah Haraam memang pelik.

Dia menghela nafas.

Ketika ini, matanya menangkap kelibat seorang tenteranya yang sedang bergerak ke arahnya. Itu adalah tentera yang diarahkan untuk meninjau keadaan Tanah Haraam dari jarak yang lebih dekat.

“Bagaimana?” Dia bertanya dengan suara yang agak kasar kepada tenteranya yang sedang menghadapnya.

“Kita masih tidak boleh menyerang Tanah Haraam Jeneral O!” Tentera itu melapor.

“Mengapa pula? Apakah yang boleh menghalang kita?” O berang. Dia memang terkenal sangat bengis dan tidak berbelas kasihan. Sesuai dengan tubuhnya yang tinggi dan besar.

“Sultan Tanah Haraam hendak bersemuka dengan Jeneral”

O Zero tersentak. Ha? Hendak bersemuka? Sultan Tanah Haraam? Lelaki yang bernama Ruh Faizan itukah?

Belum pernah lagi Ruh Faizan keluar bertemu Jeneral Utopia dalam peperangan mereka 10 tahun ini. Semua arif bahawa tentera Kerajaan Utopia tidak mengamalkan rundingan.

“Aku tidak peduli, kita serang juga” O bangun.

“Masalahnya…” Si Tentera berusaha hendak menjelaskan keadaan. Belum sempat bicaranya tamat, kepalanya terlebih dahulu melayang. Pedang Gergasi milik O telah dilibas. O tidak mahu mendengar apa-apa lagi alasan.

Tetapi ketika ini, ketika darah masih bersemburan keluar dari leher tentera itu, mata O menangkap dua lagi kelibat manusia yang sebelum ini tersembunyi di sebalik kepala tenteranya.

Panglima Aizan Fahmi yang menunggangi kuda. Memang amat dikenali oleh O.

Tetapi siapakah seorang lagi lelaki yang tidak berpakaian perang itu?

Lelaki itu turun dari kuda yang ditunggangi oleh Aizan Fahmi.

Lelaki itu menghiasi wajah dengan senyuman.

“Jeneral O? Kenalkan saya. Ruh Faizan”

Dan O terjeda.



nanti ak akn amek pule bahagian 2 punye serta bahagian2 yg seterusnya.. keredit kpd pengarang yg sgt mantap penulisannya dan dpt menarik pembaca dgn karya bervariasi seperti di ats..

Hohoho~ iyanya adlh pujian dr ak ; the owner of this belog..

Kamsahamnida, syukran, jazakallah, toce2, n thanks :)

No comments: